IPOH, 22 Oktober - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM14.29 daripada tujuh syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dalam satu majlis di Istana Perak, Changkat Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Etiqa General Takaful Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairoel Faiezy Hasnan mendahului senarai syarikat pembayar zakat dan menyerahkan RM1.8 juta.
Ia disusuli FGV Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fakhrunniam Othman dengan zakat berjumlah RM418,065 manakala Lembaga Tabung Haji (TH) melalui Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad menyerahkan zakat berjumlah RM6,773,121.81.
Sumbangan diteruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Saripol Baharin Karim yang menyerahkan RM903,690.41, disusuli Pintas Utama Sdn Bhd diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Ir Zainudin Karjan berjumlah RM500,000.
Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad pula menyerahkan RM2.9 juta manakala penyerahan terakhir dilakukan oleh Takaful Malaysia berjumlah RM1 juta.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyerahkan zakat perniagaan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Dalam majlis sama, Baginda turut mengurniakan Warkah Penghargaan atas penyerahan Aset Wakaf Hotel Seri Warisan Taiping kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).