JOHOR BAHRU, 22 November- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, tindakan ahli politik yang berbalah, caci-mencaci serta menabur fitnah, telah mengakibatkan negara dijangkiti 'Virus Perpisahan', yang memecahbelahkan perpaduan rakyat pada masa kini.
Menerusi entri Facebook Sultan Johor, perbuatan tersebut juga dilakukan demi kepentingan diri sendiri, serta mengejar kuasa dan kedudukan dalam negara.
Untuk itu, baginda bertitah semua pemimpin untuk bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain, bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat.
Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah, sepanjang baginda memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17, baginda akan fokus, mengutamakan kepentingan 33 juta rakyat Malaysia, dan bukan untuk kepentingan 222 wakil rakyat.
Sultan Ibrahim turut menyifatkan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, bukan satu kenaikan pangkat, tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, sebagai Ketua Negara.