fb fb fb fb fb

Subjek keusahawanan perlu diperkenalkan bermula di sekolah menengah

SELANGOR, 28 Mei- Subjek keusahawanan perlu diperkenalkan bermula di peringkat sekolah menengah bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar agar negara dapat melahirkan lebih ramai usahawan pada masa depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, berdasarkan statistik sedia ada, hanya 40 peratus daripada 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Justeru, menerusi pembiayaan yang disediakan mencecah RM40 bilion Dana Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,
(PMKS) tahun ini, diyakini dapat melahirkan lebih ramai usahawan terutamanya golongan belia.

"Kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan dana PMKS iaitu perusahaan kecil sederhana merangkumi pinjaman langsung, pembiayaan alternatif dan jaminan pembiayaan RM40 bilion," katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia kali ke 42 dan 43 di Bandar Saujana Putra di sini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM150,000 ringgit kepada Gerakan Belia 4B Malaysia bagi menjalankan program berkaitan keusahawanan.

Dana PMKS ini juga telah dibuka untuk permohonan mulai bulan ini.

(Ahmad Maslan)

Media Baharu