KUCHING, 18 Oktober - Kesatuan Guru Sarawak (STU) merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah segera bagi melindungi guru dan memperkukuh keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden membabitkan pelajar dan warga pendidik kebelakangan ini.
Presiden STU, Kullin Djayang berkata, KPM perlu mengadakan pertemuan bersemuka bersama semua pemimpin kesatuan guru di seluruh negara bagi mencari penyelesaian bersama dan meredakan keresahan warga pendidik.
Menurut beliau, kesatuan guru merupakan platform paling tepat untuk menyampaikan suara guru di lapangan yang menjadi barisan hadapan dalam pelaksanaan dasar KPM.
Kullin berkata, STU tidak menolak pandangan pakar-pakar pendidikan, namun kesatuan guru turut terpanggil untuk bersama menangani situasi semasa yang membimbangkan semua pihak, khususnya berkaitan disiplin dan keselamatan pelajar di sekolah.
“STU mahu KPM melindungi guru daripada sebarang tindakan perundangan seperti kes yang berlaku baru-baru ini. Tegakkan tekad bersama guru, pulihkan imej guru daripada pandangan serong komuniti. Perlindungan sewajarnya kepada guru penting bagi menjamin keselesaan mereka tanpa kerisauan, sekali gus memastikan disiplin dan keselamatan pelajar lebih terjamin di sekolah," katanya ketika dihubungi RTM di Kuching.
Kullin turut menegaskan, guru tidak sepatutnya dipersalahkan secara terburu-buru, sebaliknya perlu diberikan sokongan moral, kaunseling dan perlindungan sewajarnya agar mereka dapat bertugas dengan yakin serta berfokus terhadap disiplin dan keselamatan pelajar.
Mengulas lanjut, beliau berkata pencegahan keganasan dalam kalangan pelajar memerlukan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Jelasnya, ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan emosi serta sosial anak-anak, manakala komuniti pula harus bersama sekolah mewujudkan persekitaran yang selamat, penyayang dan berperikemanusiaan.
Dalam pada itu, STU turut merakamkan rasa simpati kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam kes berkaitan seksual serta menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa insiden tikaman baru-baru ini.
Tambah Kullin, STU sentiasa menyokong usaha reformasi dan pemulihan keselamatan sekolah agar tragedi seumpama itu tidak berulang di mana-mana sekolah di seluruh negara.