fb fb fb fb fb

SRS pastikan keselamatan komuniti, kurang kadar jenayah

Foto fail/Bernama

KANGAR, 23 November - Skim Rondaan Sukarela (SRS) berperanan amat penting dalam memastikan keselamatan kesejahteraan dan keharmonian komuniti.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ia termasuk membantu keberkesanan usaha pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengurangkan kadar jenayah.

"Ini membuktikan bahawa penglibatan komuniti amat penting dalam memainkan peranan menjaga keselamatan masing-masing dan tidak hanya diserahkan bulat-bulat kepada pihak polis," kata Muhammad dalam dalam ucapannya sempena perasmian Program Pengukuhan Keselamatan dan Ketahanan Komuniti: Jom Ronda Bersepadu SRS dan Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS peringkat negeri di Kuala Perlis , malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Polis Perlis SAC Baderulhisham Baharudin yang turut mewakili beliau merasmikan program berkenaan. Turut hadir Pengarah Perpaduan Perlis Hanita Ahmad.

Muhammad menyeru semua penduduk setempat supaya mengambil bahagian dalam SRS dan beliau yakin keselamatan dan kesejahteraan kawasan setempat akan lebih terjamin dengan pertambahan keanggotaan pasukan itu.

"Setiap penugasan rondaan dapat diaturgerakkan dengan lebih lancar dan efisien di samping dapat mengeratkan hubungan serta saling mengenali antara satu sama lain," katanya.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perlis itu juga katanya dapat mengeratkan hubungan penduduk setempat dengan agensi keselamatan.

TETITIA YUSOFF