fb fb fb fb fb

Sorok dan simpan beras, pesalah akan diheret ke mahkamah - PM

FOTO BERNAMA

BENTONG, 3 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pihak yang didapati menyorok beras di negara ini akan diheret ke mahkamah.

Menurutnya, beliau sudah memberikan arahan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu supaya memastikan pihak penguatkuasaan kementerian memantau perkara berkenaan dan mengambil tindakan kepada pesalah.

"Memang ada masalah dikeluhkan rakyat. Sebahagian kawasan memang ada yang tiada bekalan beras tempatan dan beras import naik harga. Tiga hari lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo menaikkan harga beras susulan 18 negara telah menghalang proses eksport sekali gus menyebabkan situasi 'supply and demand' (permintaan dan bekalan) meningkat.

Saya dimaklumkan bahawa wujud salah guna iaitu mereka menyorok dan menyimpan beras. Saya sudah arahkan kepada Menteri KPKM, perlu ada penguatkuasaan kepada orang yang berperangai buruk ini.

Orang susah nak cari beras, kamu sorokkan. Jaga-jaga, kami akan cari dan saman kamu, heret ke muka pengadilan di mahkamah," kata Anwar kepada pemberita dalam ucapannya pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI di Dataran Simpang Pelangai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di Bentong, malam tadi.


(Foto Fail)

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi PRK Dewan Negeri Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sentiasa mencuba untuk menyelesaikan isu beras namun pada masa sama mengakui ia memerlukan sedikit masa.

Media Baharu