
PADANG BESAR, 21 Jun – Pasukan dari Kelab AIRED (AI Robotic EDucational) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar akan mewakili negara dalam RoboCup 2026 di Incheon, Korea Selatan bermula 30 Jun hingga 6 Julai ini.
- Peluang uji kemahiran robotik dan kecerdasan buatan, platform pengalaman antarabangsa, bina keyakinan generasi muda STEM.
- Latihan berterusan tunjuk perkembangan, kesiapsiagaan tinggi termasuk aspek teknikal, strategi, inovasi dan kerjasama berpasukan.
- Perkembangan pasukan bukti komitmen dan kesungguhan persiapan menghadapi pertandingan antarabangsa.
- Perjumpaan dengan ibu bapa terangkan persiapan, perancangan perjalanan, aspek keselamatan dan peranan sokongan keluarga.
Menurut Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, peluang penyertaan ke RoboCup 2026 menjadi platform untuk para peserta menguji kemahiran dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Ini juga menjadi peluang berharga untuk mereka membina keyakinan, pengalaman antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi masa hadapan.
“Menerusi latihan berterusan, pasukan PrimeX FCoEE kini memperlihat perkembangan, kemajuan serta tahap kesiapsiagaan pasukan yang tinggi dalam menghadapi cabaran di pentas dunia melibatkan aspek teknikal, strategi, inovasi serta kerjasama berpasukan,” jelasnya dalam kenyataan.
Beliau berkata perkembangan yang ditunjukkan oleh pasukan PrimeX FCoEE membuktikan komitmen dan kesungguhan para peserta dalam membuat persiapan menghadapi RoboCup 2026.
“Pasukan ini berada pada landasan yang tepat dan bersedia untuk bersaing bersama pasukan terbaik dunia di samping membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi ketika mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa peserta RoboCup 2026 di sini.
Ketika ini, SMK Derma giat melakukan persiapan selama empat hari hingga esok bagi mengharungi kejohanan berkenaan.
“Sesi perjumpaan ini memberikan penerangan berkaitan persiapan peserta, perancangan perjalanan, aspek keselamatan serta peranan dan sokongan ibu bapa dalam memastikan para peserta berada dalam keadaan terbaik sebelum berangkat ke Incheon,” katanya.