
KOTA TINGGI, 21 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) berharap siasatan dapat disegerakan berkait kematian dua anggota tentera ketika latihan bom tangan di Gurun, Kedah pada Isnin lalu.
- Laporan siasatan menyeluruh termasuk aspek keselamatan latihan akan dijalankan.
- Siasatan perlu mengenal pasti punca sebenar dan memperbaiki kelemahan semasa latihan.
- Tentera menangguhkan semua latihan penggunaan bom tangan sehingga siasatan selesai; takziah disampaikan kepada keluarga.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata laporan siasatan menyeluruh termasuk aspek keselamatan ketika latihan dijalankan.
“Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian seterusnya memperbaiki kelemahan semasa latihan,” katanya.
“Bom tangan apabila dicabut dalam masa 7 saat mesti dibaling. Amat malang insiden tersebut berlaku hingga menyebabkan dua nyawa terkorban.
Saya ucapkan takziah kepada ahli keluarga dan waris atas kematian kedua-dua anggota tentera berkenaan. Pihak Tentera Darat telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua latihan melibatkan soal penggunaan bom tangan sehinggalah siasatan selesai,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas program pengisian minyak percuma untuk motosikal di Felda Air Tawar 2 di sini.
Dalam kejadian pada Isnin lepas, dua anggota tentera terkorban semasa latihan membaling bom tangan di Kem Hobart, Gurun.
Mereka ialah Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).