
PUTRAJAYA, 21 Jun – Lebih ramai pakar mata (oftalmologi) dapat dilahirkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara College of Ophthalmologists, Academy of Medicine Malaysia dan Royal College of Ophthalmologists United Kingdom (UK).
- Calon tempatan kini boleh menduduki peperiksaan Fellowship Royal College di Kuala Lumpur tanpa perlu ke luar negara.
- Laluan latihan kepakaran paralel menyediakan program berstruktur bagi membolehkan doktor mencapai standard antarabangsa.
- Kerjasama menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan meningkatkan kapasiti latihan pakar oftalmologi.
- Peperiksaan Refraction dimulakan, kemudian diperluas kepada Clinical Refraction dan Part 2, kini semua boleh diduduki di Kuala Lumpur.
Presiden Kolej Oftalmologi, Akademi Perubatan Malaysia, Profesor Dr Shatriah Ismail berkata menerusi MoU berkenaan calon tempatan kini boleh menduduki peperiksaan Fellowship Royal College of Ophthalmologists di Kuala Lumpur tanpa perlu ke UK.
“Usaha melahirkan lebih ramai pakar mata tempatan menerusi laluan latihan kepakaran paralel yang menyediakan program latihan kepakaran berstruktur bagi membolehkan doktor mencapai standard antarabangsa.
Kerjasama itu menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan dalam meningkatkan kapasiti latihan pakar oftalmologi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada calon tempatan malah turut menarik penyertaan calon dari luar negara untuk menduduki peperiksaan berkenaan di Malaysia.
Peperiksaan berkenaan telah dijalankan di Malaysia sejak tahun 2024 dan merupakan komponen penting dalam proses latihan kepakaran oftalmologi melalui laluan paralel.
“Pada peringkat awal, peperiksaan Refraction dilaksanakan di negara ini sebelum diperluas kepada Clinical Refraction dan Part 2 Examination. Kini semua peperiksaan berkaitan boleh diduduki di Kuala Lumpur dengan College of Ophthalmologists, Academy of Medicine Malaysia yang bertindak sebagai tuan rumah,” ujarnya lagi.
Justeru beliau berharap kerjasama strategik yang dimeterai dapat diteruskan dalam jangka panjang bagi membuka lebih banyak peluang kepada doktor tempatan mengikuti latihan kepakaran oftalmologi seterusnya meningkatkan jumlah pakar mata terlatih serta kompeten untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani MoU antara College of Ophthalmologists, Academy of Medicine Malaysia dan Royal College of Ophthalmologists UK di ibu negara.