
KULAI, 14 Ogos – Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah Kementerian Komunikasi bagi tahun ini, sekali gus menerima peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana sekolah.
- Penyediaan empat papan tanda, dua Smartboard, penambahbaikan lampu dewan, keceriaan dan pemasangan sistem siar raya.
- Peralatan teknologi termasuk dua pendingin hawa, 10 iPad untuk PdP makmal komputer dan satu set Robot Sumo sokong STEM.
- Semua keperluan perlu dilengkapkan menjelang Oktober selaras garis panduan Kementerian Kewangan; tambahan RM20,000 disalurkan untuk meja dan kerusi kantin.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pemilihan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Angkat MADANI bagi memperkukuh ekosistem pendidikan menerusi pendekatan kolaboratif yang lebih menyeluruh.
“Peruntukan itu akan dimanfaatkan SK Murni Jaya untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk empat papan tanda sekolah, dua ‘Smartboard’ bagi kegunaan dewan dan pusat sumber serta penambahbaikan lampu dan keceriaan dewan berserta sistem siar raya,” jelasnya.
Turut disediakan ialah dua unit pendingin hawa, 10 unit iPad bagi aktiviti Pendidikan dan Pembelajaran (PdP) di makmal komputer serta satu set Robot Sumo bagi menyokong aktiviti STEM dan TVET.
“Segala keperluan berkenaan perlu dilengkapi sepenuhnya untuk kegunaan guru dan murid pada Oktober nanti selaras garis panduan ditetapkan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Serahan Cek Cura Sekolah Angkat Madani Kementerian Komunikasi SK Murni Jaya di sini.
Beliau menambah, untuk tahun ini, tambahan RM20,000 turut disalurkan bagi penyediaan 19 unit meja dan kerusi di kantin sekolah tersebut.