Jaminan 100 peratus kerajaan kelebihan utama simpanan TH

Simpanan di TH dijamin 100 peratus kerajaan.

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Jaminan 100 peratus kerajaan terhadap simpanan di Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi antara kelebihan utama institusi itu, selain keupayaannya memberikan agihan keuntungan kepada pendeposit setiap tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Simpanan di TH perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan hanya untuk mengumpul dana menunaikan haji.
  • Sokongan melalui simpanan dikekalkan dan tidak kerap dikeluarkan membantu kestabilan aset TH.
  • Komitmen pendeposit membolehkan TH mengurus aset dan merancang pelaburan secara lebih konsisten.
  • Pendekatan kekal simpanan mengukuhkan asas TH dan membantu menjana pulangan pada masa akan datang.

Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jaminan itu memastikan simpanan pendeposit di TH terus dilindungi tanpa mengira jumlahnya, berbeza dengan simpanan di bank komersial yang tertakluk kepada had perlindungan tertentu.

“Berapa banyak pun kita simpan dalam Tabung Haji, simpanan itu tetap dijamin sekiranya berlaku apa-apa. Berbeza dengan simpanan di bank komersial yang mempunyai had perlindungan tertentu, Tabung Haji dijamin 100 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, matlamat menyimpan di TH tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk mengumpulkan dana bagi menunaikan ibadah haji, sebaliknya sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang yang mampu membantu meningkatkan taraf hidup umat Islam.

“Antara cara kita dapat membantu Tabung Haji adalah dengan terus memberikan sokongan melalui simpanan yang dikekalkan dan tidak kerap dikeluarkan.

“Bagaimana Tabung Haji mahu membuat pelaburan yang mampu memberikan pulangan tinggi jika jumlah simpanan atau aset sentiasa berubah-ubah,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen pendeposit untuk mengekalkan simpanan amat penting bagi membolehkan TH mengurus aset dan merancang pelaburan secara lebih konsisten.

Langkah itu juga dapat membantu mengukuhkan asas simpanan TH dalam usaha menjana pulangan pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.