
PORT DICKSON, 14 Ogos – Pemeliharaan kawasan langit gelap perlu terus diberi perhatian susulan peningkatan pembangunan dan pencahayaan yang boleh menjejaskan kualiti
cerapan ketika fenomena Astronomi.
- Kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa menjadikan beberapa lokasi berpotensi bagi aktiviti cerapan dan kajian astronomi.
- Kawasan berpotensi perlu dikenal pasti dan dikaji menyeluruh untuk menyeimbangkan kemudahan, akses serta pemeliharaan persekitaran.
- Astro-pelancongan berpotensi dikembangkan; kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi untuk memajukan sektor sebagai eko-pelancongan.
- Jabatan Perhutanan sedia memudahkan akses, permit dan pakej sesuai untuk aktiviti astronomi masyarakat.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, kedudukan Malaysia yang berada di garisan khatulistiwa harus dimanfaatkan kerana beberapa lokasi berpotensi sebagai kawasan cerapan.
“Pemeliharaan kawasan tertentu penting bagi melihat dan mengkaji langit malam, bintang serta fenomena angkasa lepas. Jika pembangunan bertambah, pencahayaan pun akan bertambah. Oleh itu penting untuk kita peliharaan kawasan berkenaan,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, kawasan yang berpotensi untuk aktiviti astronomi perlu dikenal pasti dan dikaji secara lebih menyeluruh.
“Perlu ambil kira keseimbangan antara kemudahan dan akses kepada masyarakat serta keperluan mengekalkan persekitaran yang bebas daripada pencemaran cahaya,” jelas beliau lagi.
Beliau berkata antara kawasan yang berpotensi termasuk kawasan pedalaman hutan seperti Taman Negeri Kenaboi di Jelebu dan beberapa lokasi di Pantai Timur.
Syed Ibrahim ditemui ketika Program Cerapan Hujan Meteor Perseids di Dataran Astronomi PD Forest Sungai Menyala, di sini.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 200 penyelidik bagi meninjau potensi Negeri Sembilan untuk dikembangkan sebagai negeri pelancongan astronomi (astro-pelancongan).
Dalam pada itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah berkata pihaknya melihat sektor astro-pelancongan berpotensi untuk dibangunkan.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan tidak menolak kemungkinan ini akan menjadi titik tolak permulaan kepada eko-pelancongan,” katanya.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, TS. Mohd Yussainy Md Yusop berkata pihaknya bersedia untuk memudahkan masyarakat mendapatkan akses bagi melaksanakan aktiviti berkaitan astronomi seperti permit dan pakej yang sesuai.