fb fb fb fb fb

Sistem perkongsian data kontraktor tempatan, KKR sambuat baik inisiatif Sarawak

KUCHING, 31 Julai- Kementerian Kerja Raya menyambut baik inisiatif Sarawak dalam membangunkan sistem perkongsian data kontraktor tempatan yang berdaftar dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, yang kini dalam peringkat kajian.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sistem penambahbaikan penyenaraian kontraktor yang telah dilaksanakan di peringkat persekutuan itu antara lain bertujuan mengenalpasti kontraktor yang berwibawa bagi melaksanakan sesuatu projek, sekali gus sebagai langkah mengurangkan projek-projek sakit.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Maal Hijrah Komuniti Muslim Taman Banjaran Serapi di Kuching.

Menurutnya, beliau sudah melakukan perbincangan bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Menteri Pembangunan Insfrastruktur dan Pelabuhan berkaitan perkara tersebut dan bersedia untuk bekerjasama dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyeru penduduk di kawasan parlimen tersebut untuk menyemarakkan masjid dan surau dengan mempelbagai penganjuran program dan tidak terhad dengan program keagamaan.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan beberapa anugerah Maal Hijrah kepada penerima yang telah dipilih berdasarkan sumbangan mereka kepada masyarakat setempat.


(Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Anugerah Maal Hijrah Komuniti Muslim Taman Banjaran Serapi di Kuching)

Media Baharu