
MUAR, 5 Julai – Sistem imigresen digital baharu serta laluan tambahan yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura disasar dilancarkan pada Januari tahun hadapan.
- Kerajaan serius menyelesaikan masalah imigresen untuk memudahkan urusan, terutama menghapuskan barisan panjang pekerja Johor.
- Pengoperasian di pintu sempadan kini jauh lebih lancar berbanding tiga tahun lalu, tetapi kerajaan kekal berkomitmen memperkukuh kecekapan sistem.
- Tumpuan diberi untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor supaya kurang bergantung kepada Singapura.
- Usaha menarik pelaburan dalam AI, pusat data dan teknologi moden akan diperkasa bagi memacu ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancarannya akan dilaksanakan bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong, apabila semua persiapan teknikal dan prasarana dimuktamadkan sepenuhnya.
“Itu akan menyelesaikan banyak masalah termasuk kecanggihan sistem digital baharu yang untuk imigresen gunakan untuk memudahkannya. itu maknanya selain beberapa yang telah diumumkan.
“Tapi percayalah, kita serius, kita ingin menyelesaikan masalah ini sebab anak-anak kita yang bekerja di Johor yang terpaksa beratur berjam-jam itu, tidak boleh dibiarkan”, katanya.
Tambah beliau, meskipun pengoperasian di pintu sempadan kini jauh lebih lancar berbanding tiga tahun lalu, Kerajaan Persekutuan akan terus komited memperkukuh kecekapan sistem imigresen demi memastikan kelancaran pergerakan rentas sempadan.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada program ‘Temu Anwar : Johor ke Depan’ di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Johor agar rakyat tidak perlu bergantung kepada pekerjaan di Singapura.
Ke arah itu, usaha menarik pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pusat data serta teknologi moden dan baharu di Johor dan Malaysia akan terus diperkasa.