fb fb fb fb fb

Sisa plastik antara punca pencemaran sungai Lembah Klang

Foto RTM

BANGI, 17 Mei- Pembuangan sisa plastik antara punca utama berlakunya pencemaran sungai di Lembah Klang.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo Kim, bagi memberi kesedaran dan mendidik orang ramai agar tidak sewenang-wenang membuang sisa dan sampah ke dalam sungai, NRES bersama Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) menganjurkan program "Kutip Sampah Sambil Riadah".

"Kalau air tak ada satu jam orang dah resah. Jadi sebelum apa-apa berlaku kita kena ambil langkah pencegahan dulu lah. Yang paling mudah sekali apa yang kita boleh buat, jangan buang sampah dalam sungai, itulah langkah yang paling mudah.

"Tadi kami sempat kutip plastik beg yang dah terurai dan menjadi mikroplastik. Masuk ke sungai ikan makan, kita makan ikan tu pula nanti. Jadi badan kita penuh dengan mikroplastik," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program "Kutip Sampah Sambil Riadah" di Pusat Pendidikan Sungai Langat, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pembersihan tebing sungai, usaha pengasingan sisa, dan demonstrasi proses kitar semula plastik melalui trak hijau.

Program melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil industri, pegawai kerajaan dan pelajar.

Sementara wakil MPMA, Cheah Weng Yee berkata program itu penting bagi mendidik orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata.

"Program ini amat berguna sebab persatuan kami menggalakkan orang ramai untuk tidak buang sampah merata-rata.

"Program ini akan memberikan kesedaran kepada kementerian dan juga orang-orang industri bahawa pentingnya untuk kita memastikan alam sekitar ini bersih," katanya.

Dalam pada itu, kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Muhammad Luqman Hakim Amirul Hadi berkata usaha berkenaan merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan penerimaan sumber air bersih yang berterusan.

"Apa yang kita buat sekarang ini untuk masa hadapan, untuk kita dapat sumber air yang bersih, kita dapat guna bersama, ini tanggungjawab kita bersama," katanya.

Pegawai NRES, Shirley Jamain pula berkata program sebegini penting sebagai pendedahan awal terutamanya kepada golongan muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

"Inisiatif saya bawak anak hari ini sebab bagi dia pendedahan awal tentang nilai kita menjaga alam sekitar, kutip sampah sambil itu bagi anak pendedahan dengan alam sekitar, nampak sungai, pokok-pokok, tiada terdedah dengan gajet sangat," katanya.

NRES dan MPMA juga kini dalam rundingan Perjanjian Global Plastik bagi menyelaras dan mengimbangi jangkaan serta komitmen kerajaan dan industri demi kelestarian alam sekitar Malaysia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM