fb fb fb fb fb

SIRIM diminta hasilkan pam air berkuasa tinggi, atasi banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KOTA TINGGI, 9 Januari - SIRIM Berhad diminta menghasilkan pam air berkuasa tingginya sendiri, bagi membantu mengatasi isu banjir di sesuatu kawasan, termasuk banjir termenung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata proses menghasilkan produk itu juga lebih mudah berbanding mengimport pam berkenaan dari negara luar.

" Ini kerana tahun lalu di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat saya telah umumkan pam kuasa tinggi dibekal, tetapi oleh kerana pam ini dibeli dengan tatacara pembelian kewangan, maka ia belum sampai .

"Oleh demikian saya minta SIRIM supaya keluarkan produk tempatan pam kuasa tinggi supaya tidak perlu import melalui JPS untuk pam ini," kata Zahid kepada media selepas menyaksikan penyerahan pam penapisan air dan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya di sini.

Selain pam berkuasa tinggi, SIRIM Berhad juga telah berjaya menghasilkan produk sendiri iaitu pam penapisan air yang bertujuan menyalurkan bekalan air bersih di lokasi terputus bekalan air.

Pam yang dihasilkan telah diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk dijadikan aset setiap kali berdepan bencana banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah menempah 20 unit lagi pam penapisan air itu daripada SIRIM untuk persediaan akan datang.

NADMA juga katanya memperuntukkan RM50 juta bagi bantuan awal kepada penduduk terjejas banjir di Johor dengan jangkaan diagih sebelum penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk terjejas banjir di kawasan itu berharap inisiatif kerajaan itu dapat mengurangkan beban mereka ketika berdepan banjir.

Dalam pada itu, Zahid berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kontraktor dilantik perlu menyegerakan projek tebatan banjir bernilai RM700 juta, di sini.

Projek yang dijangka siaps sepenuhnya pada 2030 itu diharap dapat disiapkan lebih awal bagi mengatasi isu banjir di Kota Tinggi.

"Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan tebatan banjir, dijangka siap kerjanya pada 2030, tetapi atas permintaan kerajaan negeri kita mahu JPS dan kontraktor memendekkan kepada 2027," katanya.

Inisiatif tebatan banjir di Johor juga akan diperluas ke Sedili Besar di sini yang berdepan isu sama, dengan jangkaan memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk.

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berkenaan untuk membantu mengatasi isu banjir di Kota Tinggi menjelang tahun 2030.

Terdahulu Zahid mengadakan lawatan ke PPS SK Taman Kota Jaya di Kota Tinggi yang menempatkan 382 penduduk terjejas.

TETITIA YUSOFF