KUALA LUMPUR, 3 April - Tiada keperluan untuk pihak swasta mengendalikan program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi menampung keperluan buat masa ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai perancangan komprehensif peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagaimanapun, Wong berkata kementerian sentiasa terbuka untuk sebarang kerjasama dengan pihak swasta dalam memperkasakan laluan TVET KPM.
Wong yakin program TVET di bawah institusi TVET KPM akan memberi peluang kepada pelajar untuk menceburi program yang berkualiti, selain menampung permintaan kepada program TVET yang dijangka meningkat.
“KPM komited dalam menyediakan akses TVET yang berkualiti kepada semua pelajar dan pelbagai akses pendidikan TVET disediakan KPM sebagai pilihan kepada pelajar berdasarkan minat dan kecenderungan mereka.
“KPM telah menyediakan pelbagai program TVET kepada pelajar lepasan tingkatan tiga yang cenderung kepada kemahiran di kolej vokasional (KV), sekolah menengah teknik (SMT) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr R. Nelson yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk membenarkan pihak swasta mengendalikan SVM bagi menampung permintaan yang dijangka meningkat susulan penggalakan terhadap pengajian TVET di negara ini.
Tambah Wong, selain program SVM yang ditawarkan di KV, KPM turut menawarkan program TVET seperti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di SMK serta Mata Pelajaran Elektif Teknikal (MPET) di SMT.