fb fb fb fb fb

Sifat kemanusiaan menjangkaui bangsa, agama

Tangkap layar TikTok Jamz

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Tular di media sosial berkenaan satu video pendek memaparkan tindakan seorang wanita berbangsa India membantu menyuapkan makanan kepada seorang pesakit di sebuah hospital.

Video berkenaan yang dikongsikan menerusi akaun Jamz atau nama sebenarnya K. Jamunahwathy itu mendapat reaksi positif dalam kalangan pengguna TikTok, dan menyifatkan tindakan berkenaan menyentuh hati dan menonjolkan sifat berbilang kaum di Malaysia kekal utuh.

Ia sekali gus mencerminkan nilai kesejahteraan, hormat dan ihsan seperti yang terkandung dalam teras Malaysia MADANI.

Menerusi komen yang ditinggalkan, Ikhmal juga pernah mengalami situasi sama, namun dibantu seorang wanita berbangsa Cina.

"15 tahun lepas saya kemalangan dengan abang, kemudian ada satu keluarga berbangsa Cina membantunya dengan menghantar ke hospital.

"Tetapi saya tidak sempat mengucapkan terima kasih kepada mak cik Cina itu," katanya yang meninggalkan komen berkenaan video itu.

Pengalaman sama turut dikongsikan Mimie Arenaa, dia juga pernah dibantu oleh seorang wanita berbangsa India ketika sedang mendapatkan rawatan.

"Masa umur 17 tahun, saya perlu menjalani pembedahan untuk membuang ovari. Saya sedar selepas pembedahan pada waktu petang namun mak tiada sebelah saya.

"Ada seorang wanita India bersama-sama suaminya nampak saya sedar dan terus tanya sekiranya saya memerlukan bantuan," katanya.

Sementara itu, Kalai Selvi berpendapat pesakit yang dibantu terharu dengan tindakan wanita berkenaan.

"Melihat keadaan pesakit yang memerhatikan mak cik itu dan menitiskan air mata jelas memaparkan dia (pesakit) rindukan ibu atau keluarganya. Saya pasti dia teringat ibunya," kata Kalai Selvi.

Ketika dihubungi RTM, K. Jamunahwathy yang melawat ahli keluarganya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berkata, pesakit itu merupakan seorang pesakit strok berbangsa Melayu dan sukar untuk berkomunikasi.

Dia juga menolak ketika jururawat mahu membantunya untuk makan malam.

"Tetapi kita tahu yang dia memerlukan bantuan, jadi mak cik saya C. Anjala Devi ingin memberikan pertolongan kepadanya. Pada mulanya pesakit itu malu dan tidak mahu menyusahkan kami.

"Namun mak cik saya menasihatkan dia untuk makan, sekiranya tidak makan ia akan menyukarkan pesakit itu untuk makan ubat dan tidur.  Semasa kami di sana, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, kami tidak melihat pesakit itu mempunyai telefon atau mempunyai pelawat," katanya.

K. Jamunahwathy juga tidak dapat memastikan keadaan pesakit itu selepas dia meninggalkan hospital berkenaan.

Video berkenaan mendapat lebih 300,000 tanda suka serta mendapat lebih 17,000 komen pelbagai bangsa.

Bagaimanapun sebelum ini pada Februari 2023, wanita berbangsa India juga pernah tular ketika membantu seorang wanita Melayu di sebuah hospital di Kedah.

Video berkenaan dikongsikan menerusi akaun TikTok Sree.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI