
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menegaskan bahawa gesaan supaya siasatan dilakukan terhadap dakwaan penyelewengan dana asing tidak seharusnya disalah tafsir sebagai ancaman kepada demokrasi atau kebebasan masyarakat sivil.
- Kamil menegaskan beliau tidak menggesa agensi bertindak secara semberono terhadap NGO penerima dana luar.
- Kenyataan merujuk kepada dakwaan penyelewengan dana oleh sebuah syarikat, termasuk penyalahgunaan untuk propaganda politik tidak sihat.
- Siasatan wajar dilakukan bagi memastikan ketelusan dan menjaga kepentingan serta keselamatan negara.
- Kritikan kepada bekas pimpinan Bersih 2.0 dianggap tersasar dari konteks serta ditegaskan demokrasi tidak membenarkan ancaman keselamatan.
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataannya sebelum ini tidak pernah menggesa agensi penguat kuasa bertindak secara semberono terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima dana luar.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kenyataan tersebut merujuk secara khusus kepada dakwaan penyelewengan dana asing yang diterima sebuah syarikat, termasuk dakwaan penyalahgunaan dana bagi tujuan propaganda politik tidak sihat atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta prinsip demokrasi negara.
Menurut beliau, apabila timbul dakwaan sedemikian, siasatan wajar dilakukan bagi memastikan ketelusan dan menjaga kepentingan negara.
“Sejak bila gesaan menyiasat aliran tunai atau dana asing ke dalam sebuah syarikat swasta yang didakwa melakukan penyelewengan dianggap sebagai ancaman kepada demokrasi dan mencabuli prinsip kebebasan?” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan empat bekas pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mengaitkan gesaan tersebut dengan pendekatan rejim terdahulu sebagai tersasar daripada konteks sebenar.
Muhammad Kamil berkata, KEADILAN sejak awal penubuhannya didukung oleh gerakan massa dan pertubuhan masyarakat sivil yang konsisten memperjuangkan agenda reformasi serta demokrasi.
Namun, katanya, isu yang dibangkitkan ketika ini melibatkan dakwaan berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau menegaskan demokrasi dan kebebasan tidak bermaksud mana-mana pihak bebas melangkaui batas sehingga boleh menggugat keselamatan serta keamanan negara.