
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menyeru senator memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh fungsi semak dan imbang Parlimen khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik global yang semakin kompleks.
- Gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan pasaran tenaga, kos logistik dan tekanan inflasi memburukkan kos sara hidup rakyat.
- Institusi legislatif dituntut mengemukakan pandangan serta penyelesaian praktikal, seimbang dan konstruktif demi kepentingan negara.
- Dewan Negara perlu jadi medan perbahasan matang, berhemah dan konstruktif; tiga ahli baharu serta dilantik semula mengangkat sumpah.
Gangguan rantaian bekalan dunia, ketidaktentuan pasaran tenaga, peningkatan kos logistik serta tekanan inflasi memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Justeru, institusi legislatif negara itu dituntut mengemukakan pandangan serta penyelesaian yang praktikal dan konstruktif demi kepentingan negara.
“Dalam suasana yang mencabar ini, rakyat menaruh harapan yang tinggi agar institusi Parlimen terus memainkan peranan secara berkesan dalam meneliti dasar-dasar kerajaan, mengemukakan pandangan bernas serta mencadangkan penyelesaian praktikal, seimbang dan konstruktif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan Dewan Negara bukan sahaja berperanan sebagai badan yang meneliti dan meluluskan rang undang-undang, malah merupakan medan perbahasan yang matang, berhemah serta konstruktif demi kepentingan rakyat.
Terdahulu, tiga Ahli Dewan Negara termasuk seorang lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UniMAIWP) Datuk Seri Profesor Dr Noor Inayah Ya’akub merupakan lantikan baharu.
Manakala, dua Ahli Dewan Negara dilantik semula iaitu, Hussin Ismail dan Dr RA Lingeshwaran masing-masing dipilih semula menerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.