fb fb fb fb fb

Senarai hitam warga asing diaktifkan semula, elak risiko keselamatan

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin/FOTO FAIL)

LARUT, 2 April- Susulan pembukaan semula sempadan semalam, individu yang disenarai hitam tidak akan dibenarkan masuk ke negara ini, demikian menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, kementeriannya mengaktifkan semula rekod individu yang disenarai hitam kerana isu keselamatan dan jenayah daripada memasuki negara ini.

"Langkah itu bagi memastikan individu terbabit tidak bolos masuk ke Malaysia, seterusnya meletakkan risiko dan boleh meningkatkan kadar jenayah di negara ini.

"Selepas Jemaah Menteri bersetuju membuka pintu sempadan pada 1 April, saya telah mengarahkan semua agensi (di bawah Kementerian Dalam Negeri) bersiap siaga dari pelbagai aspek, malah kita telah pun bersiap sedia sejak sebulan lalu.

"Kita alu-alukan sesiapa sahaja datang ke Malaysia, namun pada masa sama, kita kena sedia dari segi keselamatan dan keperluan lain mengikut prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita siap siaga untuk memastikan semua itu dapat kita pertahankan demi keselamatan rakyat yang ada dalam negara kita dan orang luar yang mahu masuk sini juga berasa lega bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat untuk mereka kunjungi.

"Ada senarai hitam yang kita sudah pun bersedia untuk memastikan bahawa mereka ini kita tidak benarkan masuk ke negara kita," katanya tanpa menjelaskan lanjut status rekod senarai hitam tersebut sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau sempena Ramadan di sini.

Hamzah menegaskan, menyedari ramai individu yang akan memasuki negara, pasukan keselamatan bersiap sedia membuat pemantauan ketat bagi menghalang sesiapa sahaja yang cuba masuk ke Malaysia untuk melakukan jenayah seperti penyeludupan.

(KDN mengaktifkan semula rekod individu yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini/FOTO HIASAN)

Menurutnya, ketibaan Ramadan juga sering menjadi faktor kepada pihak luar untuk melakukan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dan pencerobohan di perairan negara.
Justeru itu, katanya, semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan telah diarah untuk bersiap sedia sejak sebulan lalu bagi memastikan keselamatan negara sentiasa diutamakan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan kementeriannya susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di antara Malaysia dan Indonesia yang disempurnakan di Jakarta kelmarin, beliau berkata, ia antara lain membabitkan perlindungan kepada pembantu rumah dari negara jiran itu.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kekerasan terhadap pembantu rumah. Kita masih ada undang-undang, jika salah kita tangkap. Bukan sahaja orang luar, orang dalam negara yang dikesan melakukan kekejaman kepada pembantu rumah pun, kita akan hadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Media Baharu