fb fb fb fb fb

Sembilan projek utama diluluskan di Johor, 222 projek RMK-11 masih tergendala

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 26 Mei – Sebanyak sembilan daripada 10 projek utama yang dimohon melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plan Lima telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor pada 23 Mei lalu, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata antara projek yang diluluskan termasuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah Dua di Johor Bahru serta projek pelebaran lebuh raya.

Namun, beliau memaklumkan terdapat 222 projek di bawah RMK-11 yang bernilai RM10.8 bilion masih berada di peringkat pra pelaksanaan walaupun telah diluluskan sejak tahun 2016.

“Kerajaan negeri menganggap perkara ini sebagai serius kerana peruntukan telah tersedia, namun kerja-kerja belum dijalankan. Bayangkan sejak 2016 projek-projek melibatkan pembangunan menaik taraf hospital, sekolah, jalan raya dan banyak lagi tidak dapat disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15, di sini.

Sehubungan itu, kerajaan Johor memutuskan untuk mengadakan perbincangan bersama setiap kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan projek-projek terbabit dapat diselesaikan dengan segera.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN