Sembang santai perpaduan sempena angin timur bersama komuniti

Program Sembang Santai Perpaduan Sempena Angin Timur

MATA AYER, 8 Februari – Pendekatan mesra rakyat menjadi keutamaan dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat di peringkat akar umbi menerusi Program Sembang Santai Perpaduan Sempena Angin Timur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan pada pendekatan mesra rakyat untuk memperkukuh penyampaian maklumat di peringkat akar umbi.
  • Penglibatan belia, KRT dan JPKKP bagi memastikan komuniti bertanggungjawab menyebarkan maklumat sahih.
  • Sesi dialog membolehkan perkongsian pandangan isu semasa dan perancangan program komuniti sepanjang tahun.
  • Acara diserikan dengan persembahan muzik jalanan, konvoi motosikal dan jamuan kesyukuran.

Program yang berlangsung di Dataran Arked Niaga MARA Mata Ayer berkenaan disertai lebih 50 komuniti setempat terdiri belia dan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menurut Penyelaras DUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya, inisiatif seperti ini penting bagi memastikan setiap komuniti setempat dan ahli jawatankuasa bertanggungjawab dalam menyebarkan pelbagai maklumat sahih serta berperanan aktif membanteras penularan berita palsu di peringkat komuniti.

Menerusi program sebegini, mereka yang hadir berpeluang berkongsi pandangan tentang isu-isu semasa yang berlaku di negeri Perlis dan peringkat persekutuan serta merangka program bersama yang melibatkan komuniti setempat sepanjang tahun ini.

“Melalui interaksi yang lebih terbuka sebegini, masyarakat berpeluang menyampaikan aspirasi mereka serta bekerjasama dalam membangunkan komuniti yang lebih dinamik dan progresif yang memberi manfaat lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau memaklumkannya pada Program Sembang Santai Perpaduan Sempena Angin Timur yang turut diserikan dengan persembahan muzik jalanan, konvoi motosikal berkuasa tinggi serta jamuan kesyukuran.