fb fb fb fb fb

Selangor Bypass Half Marathon cabaran unik, berbeza

RAWANG, 11 Jun- Selangor Bypass Half Marathon 2023 menerima penyertaan hampir 3,000 peserta.

Tampil dengan cabaran berbeza, acara larian sukan ini diadakan di lebuh raya tertinggi di Malaysia iaitu Rawang Bypass bermula pukul 4.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Penganjuran acara sukan sedemikian platform kerajaan negeri Selangor mendekati belia sekali gus menggalakkan masyarakat bergiat aktif dalam aktiviti berbentuk sukan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Cabaran yang berbeza dan unik ialah mereka melalui Rawang Bypass, antara bypass tertinggi di Malaysia dan melintasi beberapa kawasan hutan simpan yang tebal.

"Acara ini insya-Allah akan dilanjutkan lagi pada masa hadapan.

"Kita ucapkan terima kasih kepada peserta yang datang dari seluruh negara, bukan sahaja Selangor untuk menyertai acara pada hari ini.

"Tujuan kita adalah untuk memperbanyak aktiviti sukan di negeri Selangor. Bypass Marathon ini akan menjadi acara tetap tahunan kita di negeri Selangor.

"Saya lihat termasuk peserta dari Nigeria pun ada tadi selain dari negeri-negeri lain, Kenya pun ada.

"Ini menunjukkan Selangor Bypass ini sudah diterima ramai dan sudah mendapat nama dalam kalangan mereka yang berminat dengan sukan larian ini, kita harap ini akan diteruskan, dan ini baik untuk sektor pelancongan kita," kata Amirudin merasmikan pelepasan Selangor Bypass Half Marathon 2023 di sini.

Acara larian ini terbahagi kepada dua kategori jarak iaitu 12 kilometer dan 21 kilometer dengan hadiah terkumpul sebanyak RM24,000.

(Datuk Seri Amirudin berkata Selangor Bypass Half Marathon cabaran unik, berbeza)

 




Media Baharu