fb fb fb fb fb

Selamat Hari Lelaki Sedunia buat sang adiwira

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 November- Beberapa agensi dan institusi negara merakam penghargaan kepada sang adiwira sempena Sambutan Hari Lelaki Sedunia hari ini (19 November), serta menyeru pengiktirafan terhadap sumbangan lelaki dalam keluarga dan masyarakat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengucapkan “Selamat Hari Lelaki Sedunia” kepada semua lelaki, menegaskan di sebalik kekuatan mereka tersimpan pengorbanan yang sering tidak terlihat.

"Lelaki pemimpin bukan hanya yang memegang kuasa, tetapi yang memimpin dengan hati dan melindungi tanpa mengharapkan balasan," menurut DBP menerusi hantaran di Facebook.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pula merakamkan penghargaan kepada semua lelaki yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Sebagai pemimpin, pelindung, penyumbang dan sumber inspirasi KESUMA mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan dedikasi mereka dalam membina masa depan Malaysia yang lebih MADANI," menurut pengurusan tertinggi dan warga KESUMA di Facebook.

Bank Rakyat dalam kenyataan ringkasnya turut mengucapkan selamat, menghargai pengorbanan dan usaha lelaki serta menggalakkan mereka terus menjadi pelindung, penyokong dan inspirasi kepada keluarga dan komuniti.

Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM mengingatkan bahawa lelaki juga insan yang mempunyai emosi dan perlu mendapatkan bantuan bila perlu sebagai tanda kekuatan.

"Lelaki juga punya keinginan untuk difahami dan dihargai, walaupun sering memilih untuk diam dan berpura-pura kuat.

"Tak salah pun kalau lelaki rasa penat. Lelaki juga manusia yang ada emosi, ada hari di mana segalanya terasa berat. Yang penting, jangan pendam terlalu lama. Luahkanlah kepada orang yang boleh dipercayai, dapatkan rehat secukupnya," menurut HASA UiTM menerusi hantaran di Facebook.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut menyertai ucapan dengan mengingatkan bahawa tarikh simbolik ini menghargai segala jasa dan pengorbanan sang adiwira dalam kehidupan kita.

"Mereka ayah, suami, abang, adik dan ketua yang menjadi tonggak kekuatan dalam membimbing bukan hanya untuk keluarga malah juga masyarakat," menurut ucapan itu di Facebook hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN