Celik media tidak memadai jika pelajar masih menjadi keldai akaun

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu literasi manipulasi digital: ajar pelajar kenal taktik memujuk, tekanan dan normalisasi tindakan berisiko.
  • Ibu bapa, universiti, bank dan penguatkuasa mesti beri komunikasi praktikal, manusiawi, serta latihan situasi sebenar untuk pencegahan.
  • Undang-undang kini tegas; pelajar perlu faham risiko hukum dan cara dapatkan bantuan tanpa takut dilabel penjenayah.

Apabila pelajar sekolah dan mahasiswa semakin dikaitkan dengan keldai akaun, persoalannya bukan lagi sama ada generasi muda celik teknologi. Mereka memang hidup dengan telefon, aplikasi dan transaksi digital. Yang belum tentu ialah sama ada mereka benar-benar celik risiko, celik manipulasi dan celik akibat.

Isu ini kembali menjadi perhatian apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata penglibatan pelajar IPT dan pelajar sekolah sebagai keldai akaun dalam sindiket penipuan dalam talian semakin membimbangkan.

Sindiket, menurut laporan itu, biasanya menawarkan bayaran sekitar RM1,000 hingga RM2,000 kepada individu yang membenarkan akaun bank digunakan untuk transaksi kewangan.

Angka itu mungkin nampak kecil kepada orang dewasa yang stabil kewangannya. Namun bagi sebahagian pelajar, RM1,000 boleh kelihatan seperti jalan keluar segera; bayar yuran, tampung sewa, bantu keluarga, beli keperluan belajar atau sekadar bertahan sehingga hujung semester.

Di situlah sindiket masuk. Mereka tidak hanya menjual penipuan; mereka membaca tekanan hidup, kelemahan emosi dan keinginan anak muda untuk mendapatkan wang dengan cepat.

Sebab itu, isu keldai akaun tidak wajar dilihat sebagai jenayah kewangan semata-mata. Ia juga isu komunikasi, literasi media dan perlindungan sosial. Apabila pelajar sanggup atau terperdaya menyerahkan akaun kepada pihak lain, kita perlu bertanya, adakah pendidikan digital kita selama ini terlalu sempit?

Selama ini, literasi media sering diajar sebagai kemahiran membezakan berita benar dan palsu. Itu penting, tetapi tidak lagi mencukupi.

Ekosistem penipuan digital hari ini bukan hanya bergerak melalui maklumat palsu. Ia bergerak melalui mesej peribadi, tawaran kerja sambilan, rakan sebaya, pinjaman mudah, kumpulan Telegram, iklan media sosial dan bahasa yang nampak biasa.

Mangsa bukan semestinya tidak pandai. Ada yang diperdaya kerana percaya. Ada yang terdesak. Ada yang menganggap “pinjam akaun sekejap” bukan kesalahan besar.

Di sinilah kita memerlukan literasi baharu yang boleh disebut sebagai literasi manipulasi digital. Pelajar bukan sahaja perlu diajar menyemak fakta, tetapi juga mengenal taktik memujuk, menekan, menggoda dan menormalkan tindakan berisiko.

Tawaran yang berbunyi mudah seperti “terima duit, keluarkan, ambil komisen” mesti dibaca sebagai tanda bahaya, bukan peluang kerja.

Skala masalah ini bukan kecil. Ketua Polis Negara dilaporkan berkata kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah RM2.97 bilion pada 2025, meningkat daripada RM1.57 bilion pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan pada 2025, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes pada 2024.

Angka ini menunjukkan scam bukan lagi jenayah pinggiran, tetapi sebahagian daripada ancaman besar kepada keselamatan ekonomi dan kepercayaan digital masyarakat.

Dalam konteks keldai akaun pula, Bukit Aman sebelum ini melaporkan hampir 100,000 akaun keldai dikesan sejak 2023, dengan 46,048 akaun dikesan pada 2023 dan 50,295 pada 2024.

Pada peringkat negeri, laporan tahun lalu di Terengganu menunjukkan 133 kes jenayah komersial melibatkan mangsa dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh Januari hingga September 2025, dengan kerugian melebihi RM1.16 juta. Ini bukan lagi kes terpencil yang boleh diselesaikan dengan poster amaran semata-mata.

Undang-undang juga sudah berubah. Tindakan membenarkan akaun bank digunakan pihak lain kini boleh membawa akibat serius.

Di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan, perbuatan menyerahkan kawalan akaun atau instrumen pembayaran tanpa tujuan sah boleh dihukum denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, berapa ramai pelajar benar-benar memahami maksud undang-undang ini sebelum mereka ditegur, ditahan atau disiasat?

Di universiti dan sekolah, pendekatan “jangan tertipu” tidak cukup. Pelajar perlu diberi latihan situasi sebenar. Contohnya, apa yang perlu dibuat apabila rakan meminta pinjam akaun?

Bagaimana menolak tawaran kerja sambilan yang mencurigakan? Apa beza transaksi sah dan transaksi mencurigakan? Ke mana perlu melapor jika akaun sudah disalahgunakan? Bagaimana mendapatkan bantuan tanpa rasa malu atau takut dihukum sebelum cerita sebenar difahami?

Ibu bapa juga tidak boleh dibiarkan di luar perbincangan. Ramai ibu bapa tahu anak menggunakan telefon, tetapi tidak tahu bentuk risiko kewangan digital yang sedang mendekati anak mereka.

Nasihat umum seperti “jangan percaya orang” terlalu longgar. Yang diperlukan ialah perbualan lebih konkrit: Jangan serahkan kad ATM, jangan beri nombor akaun untuk kerja tidak jelas, jangan terima duit orang tidak dikenali, dan segera beritahu orang dewasa jika sudah terlibat.

Institusi kewangan, universiti dan agensi penguatkuasaan pula perlu membina komunikasi yang lebih manusiawi. Amaran yang terlalu teknikal sering tidak sampai kepada pelajar yang sedang panik, tertekan atau memerlukan wang.

Mesej pencegahan perlu ringkas, berulang dan dekat dengan kehidupan kampus: “Akaun bank bukan barang sewa”, “Komisen kecil boleh jadi rekod jenayah”, dan “Kalau sudah tersilap, dapatkan bantuan segera.”

Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati agar pelajar tidak terus dilabel sebagai penjenayah tanpa memahami proses perekrutan sindiket. Ada yang bersalah dan perlu bertanggungjawab.

Tetapi ada juga yang dimanipulasi. Membezakan kedua-duanya penting supaya tindakan undang-undang berjalan, tetapi pendidikan pencegahan juga tidak terhenti.

Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi dan perkhidmatan digital yang lebih luas. Tetapi masyarakat digital yang selamat tidak boleh dibina hanya dengan aplikasi, undang-undang dan kempen sekali-sekala. Ia memerlukan keupayaan rakyat membaca risiko, memahami helah manipulasi dan berani meminta bantuan.

Jika pelajar masih menjadi keldai akaun, itu tanda bahawa literasi digital kita belum cukup mendalam. Generasi muda tidak hanya perlu diajar menggunakan teknologi. Mereka perlu dibantu memahami bila teknologi sedang digunakan untuk mempergunakan mereka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: mastura.mahamed@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.