KUALA LUMPUR, 2 September - Sektor minyak dan gas (O&G) serta tenaga kekal berperanan penting meskipun dunia giat melaksanakan peralihan hijau, kata Pengerusi Informa Markets Malaysia Sdn Bhd, Tan Sri Rahman Abdul Mamat.
Berdasarkan unjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), beliau berkata Asia Tenggara dijangka menyumbang suku daripada pertumbuhan permintaan tenaga global menjelang 2035.
Tambahnya, menjelang pertengahan abad ini, permintaan tenaga rantau ini dilihat bakal mengatasi Kesatuan Eropah.
“Inilah rantau yang mencatat pertumbuhan pesat dan di sinilah penyelesaian tenaga perlu diperluas selain OGA 2025 menjadi platform utama untuk perbincangan serta mempercepatkan keputusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di Oil and Gas Asia (OGA) 2025 di sini, hari ini.
OGA 2025, yang bermula hari ini hingga 4 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, merupakan edisi ke-21 acara perdagangan tenaga terbesar Asia Tenggara.
Bertemakan “Menjana Kemajuan, Membentuk Masa Depan”, penganjuran kali ini menjadi platform mengukuhkan integrasi ekonomi rantau dengan tenaga sebagai asas utama, sejajar kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Pameran itu menampilkan lebih 2,000 jenama dan syarikat dari 72 negara termasuk lapan pavilion antarabangsa yang mewakili United Kingdom, China, Singapura, Korea Selatan, India, Itali, Jerman dan Amerika Syarikat.