fb fb fb fb fb

'Sekretariat Ekonomi Asian Worldwide' angkat ekonomi ummah

Foto RTM

AMPANG, 27 Jun - Sekretariat Ekonomi Asian Worldwide, sebuah inisiatif ekonomi serantau yang menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan entiti korporat di bawah satu jaringan kerjasama ummah.

Menurut Pengasas NH Mall Worldwide, Ustaz Zawawi Ramli, sekretariat ini menyasarkan lebih 100 penyertaan organisasi menjelang pelancaran penuhnya pada 5 September ini.

Beliau berkata demikian bersempena Majlis Gema Selawat & Martabatkan Al-Quran Di Puncak Siri 2.0, yang turut menyaksikan pra pelancaran sekretariat berkenaan, di sini hari ini.

"Sekretariat Ekonomi Asian Worldwide ditubuhkan bagi mengembangkan dan mempromosikan produk-produk Malaysia ke pasaran luar negara, bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga ke peringkat antarabangsa.

"Inisiatif ini turut menggabungkan dua entiti iaitu gerakan Gema Selawat dan usaha memartabatkan al-Quran sebagai lambang kekuatan dan kebanggaan umat Islam," katanya.

Program bersempena sambutan 1 Muharram 1447H tersebut bertujuan menggerakkan sinergi antara pelbagai sektor ekonomi termasuk pertanian, perikanan, penternakan dan industri halal, sebagai langkah pemberdayaan ekonomi masyarakat secara lebih tersusun.

"Setakat ini, lebih 15 NGO dan koperasi telah menyatakan komitmen awal. Beberapa lokasi tanah pertanian dan pusat ekonomi seperti di Klang, Bagan Datuk dan Perak juga dikenal pasti sebagai tapak permulaan usaha ini," tambahnya.

Majlis turut disertai oleh wakil-wakil tokoh ekonomi dan korporat dari pelbagai institusi termasuk Yayasan Ihsan Rakyat, Idola Group, Wisma Sabarudin serta Konsortium Gabungan Jaringan Akademik dan NGO Nasional (KOGAJAN).

Pengisian program turut merangkumi bacaan al-Quran, persembahan selawat dan qasidah, serta sesi perkongsian peluang perniagaan. Ia juga mengetengahkan kempen pemulihan tanah terbiar dan perancangan seminar ekonomi ummah di peringkat serantau.

Program ini merupakan kesinambungan kepada edisi terdahulu yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar, dan akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan dakwah menjelang pelancaran rasmi pada Ogos ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI