fb fb fb fb fb

Satu kes keracunan kupang diterima - JKNM

Foto hiasan

MELAKA, 11 Jun- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerima satu kes keracunan makanan dipercayai selepas memakan kupang.

Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem dalam satu kenyataan berkata, kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 34 dan dimasukkan ke Hospital Alor Gajah pada 8 Jun lalu.

"Memang ada satu kes berkaitan keracunan kupang dilaporkan di Hospital Alor Gajah tapi belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan Jabatan Perikanan. Pesakit dimasukkan ke wad sejak Sabtu lepas dan sudah sihat serta akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat," katanya.

Pada Khamis lepas, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Wan Muhamad Aznan Abdullah memaklumkan analisis sampel air dan kupang di perairan Port Dickson didapati masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan.

Sementara itu analisis terbaharu berkenaan mendapati bacaan toksin semakin rendah dan menghampiri kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb) namun larangan terhadap pengusaha kupang atau kerang untuk menjual hidupan dwicangkerang dari Port Dickson itu masih terpakai.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI