Sarawak perkukuh campuran tenaga, hadapi cabaran masa depan

Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) ditemui media selepas lawatan kerja ke Empangan Batang Ai, Lubok Antu sempena program Skuad Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Zon Sarawak

SRI AMAN, 12 April – Sarawak berada di landasan tepat dalam memperkukuh sumber tenaga boleh diperbaharui negara menerusi pendekatan campuran tenaga yang lebih pelbagai dan mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperluas campuran tenaga supaya tidak bergantung kepada satu sumber, bagi menghadapi perubahan cuaca ekstrem yang menjejaskan tenaga hidro.
  • Empangan Batang Ai kekal relevan sebagai sumber tenaga hijau dengan potensi dimanfaatkan untuk beberapa dekad akan datang.
  • Projek solar terapung dan hibrid hidro-solar mengurangkan kebergantungan diesel, menstabilkan bekalan, dan sambungan grid ke Limbang menamatkan penggunaan diesel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, masa depan negara bergantung kepada keupayaan menguasai serta menjana sumber tenaga yang mencukupi, stabil dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja.

Menurut beliau, Malaysia perlu memperluas campuran tenaga (energy mix) bagi menghadapi cabaran masa depan termasuk perubahan cuaca ekstrem yang boleh menjejaskan pengeluaran tenaga hidro.

“Masa depan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan menguasai sumber tenaga. Kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja seperti air atau gas, sebaliknya perlu mempelbagaikan sumber tenaga, lebih-lebih lagi berdepan perubahan cuaca ekstrem yang boleh menjejaskan bekalan hidro,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Empangan Batang Ai, Lubok Antu sempena program Skuad Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Zon Sarawak, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Fadillah berkata Empangan Batang Ai yang mula beroperasi sejak 1985 masih kekal relevan sebagai sumber tenaga hijau dengan kapasiti 108 megawatt dan berpotensi dimanfaatkan sehingga 30 tahun lagi.

“Empangan Batang Ai merupakan empangan pertama menggunakan kuasa hidro yang dibangunkan sejak 1985 dengan kerjasama syarikat Jepun, berkapasiti 108 megawatt dengan empat turbin,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkukuh tenaga boleh diperbaharui di Sarawak turut diperkasa melalui projek solar terapung yang dibangunkan hasil kerjasama antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan syarikat dari China, dengan keupayaan menjana kira-kira 50 megawatt.

Pendekatan hibrid hidro dan solar itu bukan sahaja membantu mempelbagaikan sumber tenaga negeri, malah mengurangkan kebergantungan terhadap diesel serta memastikan bekalan tenaga lebih stabil dan mampan.

Selain itu, usaha penyambungan grid elektrik ke Limbang dijangka disempurnakan tahun ini, sekali gus bakal menamatkan penggunaan penjanaan diesel di Sarawak.

“Apabila grid Sarawak disambungkan ke Limbang seperti diumumkan Premier Sarawak, kita tidak lagi bergantung kepada penjanaan diesel di negeri ini,” jelasnya.

Tambah Datuk Seri Fadillah lagi, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat utiliti amat penting bagi merancang masa depan tenaga negara yang lebih berdaya tahan, mampu milik dan mesra alam.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 yang berlangsung selama dua hari bagi meninjau pelaksanaan projek sektor air dan tenaga di lapangan secara strategik, mampan dan berimpak tinggi.