Sambutan Maulidur Rasul perlu diterjemah melalui penghayatan akhlak – Dr. Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi./ JAKIM

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya terhenti pada acara berselawat, perarakan dan memeriahkan majlis, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan akhlak serta ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Perdana Menteri menyusun agenda dan inisiatif memastikan penghayatan akhlak serta ajaran Rasulullah SAW dihayati oleh seluruh umat Islam.
  • Majlis diserikan perarakan 27 kontinjen, persembahan nasyid, dan dihadiri kira-kira 1,200 tetamu.
  • Anugerah Tokoh Utama kepada Prof Datuk Dr Luqman Abdullah; anugerah khas kepada WADAH, Masjid At-Taqwa, Ar-Riqab dan SIRAJ.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penghayatan nilai akhlak mulia berteraskan ajaran Islam, al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW perlu dijadikan asas dalam mendidik diri dan masyarakat mencontohi Baginda.

“Sambutan Maulidur Rasul tidak boleh hanya berhenti dengan berselawat, dengan sambutan perarakan mahupun memeriahkan majlis Maulidur Rasul. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan akhlak, penghayatan kepada ajaran Baginda Rasulullah SAW.

“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita menyusun agenda dan atur cara serta inisiatif untuk mengimarahkan lagi usaha-usaha bagi memastikan penghayatan akhlak dan ajaran Rasulullah SAW akan dihayati oleh seluruh umat Islam di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 1,200 tetamu dan diserikan dengan perarakan 27 kontinjen Maulidur Rasul terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun, masjid dan surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sambutan turut diserikan dengan persembahan nasyid khas daripada kumpulan Ustaz 3 Beradik, Tausiyah Maulidur Rasul serta penyampaian Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan kepada individu dan organisasi yang menyumbang kepada pengembangan syiar Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Anugerah Tokoh Utama dinobatkan kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Luqman Abdullah.

Anugerah Tokoh Utama dinobatkan kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Luqman Abdullah./ JAKIM

Sementara itu, Anugerah Khas Organisasi bagi kategori Dakwah dimenangi Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Masjid dan Surau kepada Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, kategori Kemanusiaan kepada Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur dan kategori Pendidikan kepada Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Abdullah Ibnu Abbas.

Berkongsi mengenai pengiktirafan diterimanya, Profesor Datuk Dr. Luqman berkata segala yang dilakukannya selama ini dianggap sebagai satu motivasi untuk terus menyumbang kepada kebaikan negara.

“Sumbangan bagi saya tidak seberapa, sumbangan yang telah saya lakukan, tapi apapun ia saya anggap sebagai satu motivasi untuk diri saya sendiri dan juga untuk rakan-rakan yang lain untuk terus menyumbang ke arah kebaikan negara kita,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.