fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Malaysia bukti semangat perpaduan, lebih 10,000 pengunjung hadir

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada sidang media di pejabatnya di Komtar. / Foto RTM

GEORGE TOWN, 17 September – Kehadiran lebih 10,000 pengunjung berbilang kaum pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth semalam jelas mencerminkan semangat perpaduan rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta memberi sokongan dalam menjayakan penganjuran julung kali di negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2025, melahirkan rasa puas hati dengan kelancaran program yang disifatkan berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Usaha memupuk perpaduan dan identiti kebangsaan memerlukan pendekatan menyeluruh. Sambutan Hari Malaysia ini menjadi wadah mengukuhkan persefahaman, toleransi dan keharmonian rakyat. Kehadiran pemimpin Persekutuan dan negeri lain turut memberi mesej positif dalam suasana semasa. Secara keseluruhan, kita berpuas hati dengan kelangsungan program,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.

Beliau menambah, sebagai tuan rumah Pulau Pinang berbesar hati menerima kepercayaan itu dan yakin pengalaman berkenaan akan menjadi rujukan bagi penganjuran pada masa akan datang.

Sambutan tahun ini bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, dan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah adalah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.

Majlis turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI