
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Penganjuran tahunan Sambutan Anak Merdeka Malaysia terus ‘menyegarkan’ semangat patriotik serta memelihara identiti nasional, sekali gus menghubungkan masyarakat dengan sejarah perjuangan negara.
- Program Arkib Negara Malaysia sebagai wadah memupuk cinta negara dan jati diri generasi muda.
- Memperkukuh perpaduan kaum dengan menjadikan acara agenda nasional yang menyatukan masyarakat berbilang bangsa.
- Aktiviti interaktif seperti Explorasi dan kuiz sejarah melibatkan keluarga bagi menanam nilai kebersamaan dan keharmonian.
- Acara menyokong usaha mempertahankan kemerdekaan serta memastikan kemakmuran dan kedamaian tanah air terpelihara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid mengakui penganjuran program oleh Arkib Negara Malaysia bukan sahaja meraikan individu yang berkongsi tarikh lahir pada 31 Ogos dan 16 September, malah berfungsi sebagai wadah menyemaikan rasa cinta akan negara.
“Sepanjang 32 tahun penganjuran sejak 1994, acara ini terus menjadi agenda penting dalam menyatukan masyarakat berbilang bangsa di bawah semangat kebangsaan.
“Kita bukan hanya mengenang sejarah, namun memberi galakan serta bersama-sama mempertahankan kemerdekaan hingga ke generasi yang akan datang,”kata Datuk Haslina.
Beliau turut memaklumkan, bagi edisi tahun ini yang berlangsung di Memorial Tun Hussein Onn, kesemua peserta dan keluarga bukan sahaja hadir dengan memperagakan busana berunsur patriotik, malah pelbagai aktiviti interaktif disediakan seperti program Explorasi dan kuiz sejarah yang menekankan nilai kebersamaan dalam mengekalkan keharmonian.
“Penganjuran seperti ini bagi bersama-sama meraikan kemerdekaan negara, sekali gus menyemarakkan patriotisme dalam diri anak-anak, katanya.
Penganjuran seperti ini juga terus memperkukuh integrasi sosial serta menyemarakkan patriotisme agar kemakmuran dan kedamaian tanah air terus terpelihara.