RUU tadbir urus AI fokus keselamatan dan akauntabiliti teknologi

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak anak Kumbong ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Bangunan Parlimen/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Digital bertujuan memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dilaksanakan secara selamat, telus dan bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU menekankan keselamatan, ketelusan dan tanggungjawab sepanjang kitar hayat sistem AI.
  • Pendekatan berasaskan tahap risiko dan tanggungjawab undang-undang dikenakan ke atas pembangun serta pelaksana AI.
  • Akta cadangan memfokuskan perlindungan hak asasi, keadilan, keselamatan dan mekanisme pemulihan melalui penguatkuasaan sedia ada.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata RUU berkenaan dirangka berasaskan prinsip akauntabiliti yang merangkumi keseluruhan kitar hayat sistem AI.

Menurut beliau, pendekatan berasaskan tahap risiko turut diterapkan, selain pengenaan tanggungjawab undang-undang (statutory duty of care) ke atas pihak yang membangunkan serta melaksanakan sistem kecerdasan buatan.

Beliau menjelaskan penggubalan RUU itu turut mengambil kira Garis Panduan Etika dan Tadbir Urus AI (AIGE) sebagai rujukan, dengan penekanan kepada tanggungjawab yang jelas dan telus bagi membolehkan pihak yang wajar dipertanggungjawabkan dikenal pasti melalui rantaian penguasaan, pengendalian dan kawalan sistem AI.

Penjelasan itu dikemukakan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, isu berkaitan keupayaan undang-undang, niat serta sebab munasabah bagi tujuan akauntabiliti turut menjadi antara fokus utama dalam penggubalan RUU tersebut.

Sebarang kesan negatif penggunaan AI, menurut beliau, akan terus ditangani melalui undang-undang sedia ada yang relevan mengikut konteks isu, selaras dengan mekanisme penguatkuasaan dan langkah pemulihan, manakala aspek tadbir urus sistem AI akan diperkukuh melalui Akta Tadbir Urus AI yang dicadangkan.

Akta berkenaan turut menekankan pemerkasaan hak asasi manusia dan perlindungan individu sebagai teras utama, selari dengan prinsip keadilan, keselamatan, maruah insan dan kedaulatan undang-undang.