fb fb fb fb fb

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 berbeza daripada cadangan sebelum ini – Fahmi

Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan dibentang berbeza daripada cadangan kerajaan sebelum ini, kata jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 28 Februari – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan dibentang berbeza daripada cadangan kerajaan sebelum ini, kata jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menafikan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima maklum balas negatif daripada kakitangan Parlimen mengenai pembentangan RUU tersebut.

"Setelah kita buat semakan, draf yang dibawa oleh Azhar pada waktu itu berbeza daripada draf yang telah dibawa ke Parlimen sekarang. Ini yang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Azalina, menteri yang bertanggungjawab," katanya dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.

Terdahulu, Hamzah mempersoalkan mengenai RUU berkenaan dan mendakwa ia bukan 'ibu segala reformasi', sebaliknya berpotensi merosakkan masa depan negara.

Ahli Parlimen Larut itu turut mendakwa cadangan mengenai pengurusan pentadbiran kakitangan Parlimen pernah dibawa oleh Azhar, dengan hasil perbincangan ketika itu menunjukkan 70 peratus daripada kakitangan Parlimen tidak bersetuju.

RUU Perkhidmatan Parlimen telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen, Isnin lalu oleh Azalina.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN