RUU Pengangkatan 2026 dibentang bacaan kali pertama

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkatan 2026 yang antara lain mencadangkan penurunan had umur anak daripada 21 kepada 18 tahun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan meminda Akta Pengangkatan 1952 bagi menurunkan had umur 'anak' daripada 21 kepada 18 tahun.
  • Bacaan kedua dan ketiga RUU dijadualkan dibentangkan pada persidangan kali ini, menurut Timbalan Menteri.
  • Langkah itu menyelaraskan had umur dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025, kelayakan mengundi, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Umur Dewasa 1971.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU berkenaan turut dijadual dibentangkan pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di portal Parlimen, cadangan pindaan itu bertujuan meminda Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257), termasuk Seksyen 2 berkaitan takrif “anak” dengan menurunkan had umur daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu menyatakan langkah berkenaan bertujuan menyelaraskan had umur tersebut dengan kelayakan permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran seperti diperuntukkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2025 (Akta A1752).

Cadangan itu juga selaras dengan umur kelayakan mengundi di Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan, takrif kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 21).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.