fb fb fb fb fb

RTM tempuh perjalanan bermakna dalam dunia penyiaran- Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/FOTO FB Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Jabatan Penyiaran Malaysia atau dikenali RTM akan menyambut ulang tahun ke-78 pada 1 April ini, telah menempuh satu perjalanan yang bermakna dalam dunia penyiaran.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melahirkan rasa bangga dengan pencapaian RTM, seiring dengan perkembangan teknologi serta mengekalkan identiti sebagai penyampai maklumat yang tepat dan sahih.

"Pada 1 April nanti, Jabatan Penyiaran Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-78 dan ini satu 'milestone' yang sangat bermakna kerana kita boleh berasa bangga Jabatan Penyiaran, RTM telah begitu lama sejak sebelum merdeka lagi memberi perkhidmatan untuk sebagai Jabatan Penyiaran khusus untuk warga rakyat Malaysia dan juga rakyat malaya sebelum itu dan melalui 35 stesen radio, enam saluran TV dan OTT (over-the-top) yang cukup popular, RTM Klik.

"Kini ia telah jauh berkembang daripada satu saluran radio yang disiarkan dalam empat bahasa secara berjadual", katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

Tambahnya, RTM yang kini mencecah 10 juta penonton bagi siaran televisen dan 16 juta pendengar siaran radio, terus menambat hati pelbagai golongan masyarakat.

Menerusi kegiatan dan aktiviti berkonsepkan khidmat masyrakat seperti Jelajah Ramadan yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

Dalam pada itu, Fahmi turut menyeru warga Kementerian Komunikasi menjadi ejen menjernihkan keadaan, agar perpaduan antara kaum sedia ada ini terus utuh dalam negara.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan ada pihak lain mengambil peluang untuk terus mengganggu gugat dalam isu-isu melibatkan 3R (kaum, agama, institusi raja) ketika ini.

"Kita semua mainkan peranan. Kalau tuan-tuan semua ada ternampak dalam FYP (for your page) atau pun timeline masing masing, kawan-kawan kita mengeluarkan kata-kata yang tidak patut, tolong tegur.

"Tindakan kita boleh menjadi pengajaran kepada orang yang mungkin tidak faham dengan kepercayaan dan adat resam kita. Gunakanlah peluang itu. Jadi, saya harap RTM fokus kepada kandungan yang memupuk perpaduan.

"Kita perlu usaha konsep Malaysia itu, bagaimana kita bertolenrasi antara satu dengan yang lain, saling rai-meraikan perayaan masing masing. Ini harus menjadi titik temu kita, paksi kita, teras kita, tiang seri sebagai sebuah kementerian", katanya.

Beliau turut memaklumkan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengenal pasti individu yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina institusi Diraja, khususnya institusi Diraja Selangor.

Fahmi berkata MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati individu terbabit sangat bermasalah dengan lebih 20 kertas siasatan lampau telah dibuka terhadapnya, berkaitan kenyataan jelik sebelum ini.

"Saya difahamkan kandungan tersebut juga ada di Tiktok dan insha-Allah dalam masa terdekat saya telah panggil pihak facebook kerana saya mendapati dan juga pihak MCMC juga mendapati kandungan yang bersifat 3R. Tindakan daripada pihak facebook ini sangat lambat dan memudahkan kandungan tersebut ditularkan.

"Jadi ini sudah pasti tidak menghormati institusi raja-raja dan kita perlu pastikan platform seperti facebook lebih proaktif", katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Komunikasi di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

 

ROSLINA BINTI DIN