fb fb fb fb fb

RTM anjur Himpunan Anak Merdeka catat MBOR

KUALA LUMPUR, 31 Ogos- Program Himpunan Anak Merdeka anjuran Jabatan Penyiaran yang berlangsung serentak di seluruh negara itu berjaya mencatat 'Sambutan Hari Lahir Anak Merdeka terbesar' dalam Malaysia Book Of Records sebagai The Largest Simultaneous Merdeka Babies Birthday Celebration. 

Kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri itu meraikan seramai 2,054 individu yang lahir pada 31 Ogos menyertai perhimpunan itu di seluruh negara dan diraikan pada malam ambang Hari Kebangsaan ke-67.

Hamzah Tambi yang ditemui di RTM berkata, dia sangat teruja dengan perhimpunan itu.

"Saya rasa sangat teruja untuk sama-sama berkumpul dengan anak-anak Malaysia. Sebab kita sebelum ini pun tidak pernah bersama-sama. Ini adalah momen paling indah buat kami sebagai anak merdeka," katanya.

Di Negeri Sembilan, Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan mengadakan Konsert Resonans Jiwa Merdeka dengan kerjasama rakan strategik GD Holdings merupakan platform strategik meraikan keterujaan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Menurut Pengerusi GD Holdings, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, beliau yakin dengan dengan semangat perpaduan yang ditonjolkan, masyarakat jelas menghargai satu sama lain. 

"Kita harus mengadakan kesinambungan daripada perpaduan sedia ada pelbagai kaum dan agama di negara kita sebab kita mendukung segala apa yang mereka lakukan dalam usaha jadikan Malaysia sebuah negara majmuk," katanya.

Seramai 60 individu yang menyambut hari kelahiran pada 31 Ogos diraikan pada malam tadi diraikan di negeri itu. dan serentak diadakan di seluruh negara untuk mencipta rekod dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai The Largest Simultaneous Merdeka Babies Birthday Celebration. 

Konsert diserikan dengan nyanyian artis tanah air seperti Naim Danial, Nabila Razali, Waghih dan Amalina. 

3108 HIMPUNAN ANAK MERDEKA MBOR
Pasangan Guru Agama Ahmad Shukri Yusof dan isteri Nor Farahiah Che Husin

Sementara itu di Kelantan dua pasangan suami isteri antara 200 anak merdeka diraikan pada program Himpunan Anak Merdeka Largest Simultaneous Merdeka Babies Birthday Celebration anjuran Kelantanfm yang berlangsung di Dewan Terbuka Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.  

Lahir pada tarikh dan tahun yang sama iaitu pada 31 Ogos 1983, pasangan guru agama Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Jeli, Ahmad Shukri Yusof dan Nor Farahiah Che Husin, 41 tahun serta pasangan suami isteri Noor Asnida Mat Hussin dan Mohd Fakaruzzaman Mustafa, 32 tahun dari Pasir Mas teruja dan tidak menyangka terpilih untuk menyertai program tersebut.

Seorang Guru Agama Nor Farahiah Che Husin yang pertama kali hadir pada program berkenaan berkata dia sangat bertuah diraikan.

"Saya rasa sangat gembira dan bertuah sebab pertama kali hadir. Sebelum ini tiada sambutan sebegini, terima kasih kepada RTM," katanya.

Bagi Guru Agama Ahmad Shukri Yusof menyifatkan ianya sesuatu sambutan yang bermakna.

"Saya rasa sangat bertuah, sebab ingat dahulu masa kecil mesti duduk depan televisyen untuk melihat perbarisan. Saya rasa semua orang meraikan hari lahir saya," katanya.

Di Pulau Pinang, Mutiara FM berjaya membawa 60 anak kelahiran pada 31 Ogos di negeri itu diraikan dalam Himpunan Anak Merdeka.

Majlis ambang merdeka itu diadakan di pejabat Belia dan Sukan di Balik Pulau dan turut dihadiri Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan agensi kerajaan lain.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI