RS-2: Ekonomi Selangor disasar berkembang RM612.5bil, KDNK 6.3 peratus

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari / Foto Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM, 4 Ogos – Ekonomi Selangor disasar berkembang kepada RM612.5 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pertumbuhan KDNK Selangor 6.3% pada 2026, melebihi unjuran Malaysia 4.7% dan global 3.4%.
  • Negeri perlu mengekalkan pertumbuhan sekitar RM20 hingga RM25 bilion setahun sepanjang 2026–2030.
  • Momentum pelaburan dan aktiviti ekonomi berterusan dijangka menjadikan Selangor negeri pertama capai ekonomi RM500 bilion dalam dua hingga tiga tahun.
  • Pertumbuhan didorong pengukuhan sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan dan perusahaan mikro, kecil serta sederhana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu mampu dicapai sekiranya negeri mengekalkan pertumbuhan ekonomi sekitar RM20 hingga RM25 bilion setahun, sepanjang tempoh pelaksanaan RS-2 dari 2026 hingga 2030.

Katanya Selangor turut menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada 2026, mengatasi unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.7 peratus dan ekonomi global 3.4 peratus.

Dengan momentum itu Selangor dijangka menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencatat nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

“Sasaran ini selaras dengan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melalui laporan Tinjauan Ekonomi Dunia edisi Julai 2026 dengan unjuran ekonomi global berkembang kepada 3.4 peratus manakala ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada tahun yang sama.

“Oleh itu, sasaran pertumbuhan KDNK Selangor adalah 6.3 peratus berdasarkan asas ekonomi negeri yang kukuh di sokong momentum pelaburan dan aktiviti ekonomi yang berterusan. Kerajaan Negeri menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing dalam tempoh RS-2,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian tersebut turut didorong keberkesanan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di samping usaha berterusan memperkukuh sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Prestasi pertumbuhan ekonomi Selangor yang melebihi sasaran tahun lalu membuktikan negeri ini terus kekal sebagai penyumbang terbesar dan enjin utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Prestasi ini didorong asas ekonomi negeri yang kukuh serta pengukuhan sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, logistik, pelaburan dan perusahaan mikro, kecil serta sederhana,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee di Dewan Negeri Selangor di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.