
KUALA LUMPUR, 19 Januari – Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 memberi penekanan kepada pembinaan nilai pelajar dan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum bagi memastikan graduan kekal relevan menghadapi cabaran masa depan.
- RPTM 2026–2035 menekankan pembinaan nilai dan sahsiah pelajar untuk kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
- Integrasi AI diwajibkan dalam kurikulum semua bidang pengajian bagi memastikan relevan dengan perkembangan teknologi.
- Pengenalan kursus jangka pendek dan latihan khusus menambah nilai kebolehpasaran graduan selari keperluan industri.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, pendekatan pembangunan bakat perlu disemak semula kerana kaedah tradisional dilihat tidak lagi mencukupi untuk menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan.
Menurut beliau, cabaran masa depan memerlukan pelajar memiliki kekuatan dalaman dan nilai yang kukuh untuk terus berdaya saing, Sehubungan itu, pembangunan sahsiah tidak boleh lagi dilaksanakan melalui pendekatan lama.
Katanya, RPTM 2026–2035 menekankan integrasi teknologi AI dalam semua bidang pengajian, selari dengan keperluan semasa pembelajaran.
“Dalam konteks AI hari ini, kita tidak lagi boleh memilih sama ada mahu menggunakannya atau tidak, kerana AI telah berada di mana-mana dan perlu dimasukkan dalam proses pembelajaran,” katanya selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif, di Angkasapuri, Kota Media,
Datuk Dr. Anesee berkata, cabaran utama pendidikan tinggi adalah memastikan kurikulum universiti selari dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang teknologi yang berkembang pesat.
Beliau mengakui institusi pengajian tinggi sukar untuk mengejar kepantasan perubahan industri, jadi pendekatan alternatif diperkenal bagi menambah nilai kebolehpasaran graduan.
Antaranya melalui kursus jangka pendek dan latihan khusus bagi melengkapkan graduan dengan kemahiran yang menepati keperluan sebenar industri.
RPTM 2026–2035 dijangka menjadi pemacu utama transformasi pendidikan tinggi negara ke arah lebih inklusif, berdaya saing dan selari dengan keperluan ekonomi masa depan.