
PETALING JAYA, 19 Januari – Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman menerima Anugerah Outstanding Business Leader-Sektor Kerajaan pada Majlis Anugerah Nanyang Emerging Icon.
- Datuk Suhaimi terima Anugerah Outstanding Business Leader-Sektor Kerajaan atas kejayaan transformasi RTM.
- Pengiktirafan menonjolkan usaha RTM kekal relevan selepas 80 tahun melalui inovasi program dan platform.
- Tekankan pemikiran terbuka, penggunaan teknologi dan perolehan ilmu baru untuk terus memimpin perubahan.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau dalam melaksanakan pelbagai transformasi bagi memastikan RTM kekal relevan pada hari ini.
Beliau berkata, RTM akan terus berusaha untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada semua audiens dan usaha itu tidak akan terhenti dan akan sentiasa memiki cara untuk terus kekal relevan.
“Ini adalah hadiah untuk semua. Sudah tentu.Ada banyak benda yang telah kita rancang untuk tahun 2026 dan alangkah moleknya sebab kita dapat anugerah ini di bulan Januari iaitu awal tahun.
“Jadi, ini saya rasa satu penghormatan yang begitu besar kepada RTM kerana mereka melihat RTM ini sebagai organisasi yang berjaya menjadi terus relevan walaupun kita dah berumur 80 tahun, pada tahun ini.
“Mereka melihat kita relevan dan transformasi yang kita buat itu bagus dan mereka suka akan pendekatan kita. Jadi, ini adalah satu kemenangan kepada semua staff-staf di RTM sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis peyampaian anugerah tersebut, hari ini.
Buat pertama kali, Anugerah Nanyang Emerging Icon dianjurkan bagi mengiktiraf usahawan muda dan jenama ikonik tempatan.
Mengangkat tema ‘Mencipta Kecemerlangan, Menerajui Masa Depan’, ia bukan pengiktirafan semata-mata, tetapi juga platform strategik yang menghubungkan usahawan tempatan dan global.
Datuk Suhaimi juga berkata, pelbagai perubahan sedang dilaksanakan ketika ini, sebagai contoh berita yang ditampilkan iaitu program teh tarik campur berita yang sudah mula memikat hati penonton.
“Itu adalah satu transformasi. Itu adalah satu inovasi yang bagus. kita sekarang ini ke arah itu dalam semua aspek. Biar sukan, biar radio, biar digital dan juga lain-lain lagi.
“Kemudian saya rasa yang paling penting sekali adalah kita kena sentiasa berfikiran terbuka dan kita kena sentiasa melihat benda apa yang berlaku di sekeliling kita, bagaimana kita menggunakan teknologi untuk menentukan kita kekal relevan dan yang paling penting ialah kita terus mendapatkan ilmu-ilmu baru,” katanya.