RMK13: Kerajaan akan laksana MyRMK untuk pantau pelaksanaan projek

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kerajaan bercadang melaksanakan MyRMK, sistem pemantauan bersepadu bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaksanakan MyRMK suku ketiga tahun ini untuk pemantauan bersepadu pelaksanaan RMK13.
  • MyRMK memantau Pelan Pelaksanaan Dasar termasuk KPI nasional, strategi dan inisiatif RMK13.
  • Kerajaan akan terbitkan maklumat perkembangan pelaburan dan pencapaian secara berkala bagi ketelusan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaannya akan bermula pada suku ketiga tahun ini.

Jelasnya, MyRMK diwujudkan bagi memantau Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) merangkumi perincian KPI nasional, strategi dan inisiatif yang telah digariskan dalam RMK13.

Pada masa sama, membantu agensi pelaksana merancang dan menyusun pelaksanaan program secara lebih teratur dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan, kerajaan turut bercadang menerbitkan maklumat berkaitan perkembangan pelaburan dan pencapaian sasaran secara berkala di laman sesawang rasmi RMK13.

Langkah itu bertujuan memastikan ketelusan serta membolehkan rakyat menilai sendiri kemajuan pelaksanaan dasar dan strategi yang digariskan dalam RMK13.

“Sekiranya projek ini berlaku kelewatan dia akan memberi kesan kepada sasaran kita dalam mencapai RMK13, sebab itu bila kita memantau bagaimana untuk kita melaporkan kepada rakyat mengenai perkembangan dalam memenuhi sasaran MyRMK.

“Dalam tempoh 5 tahun ini kita dapat lihat bagaimana pencapaian terhadap strategi ataupun objektif yang kita tetapkan dalam RMK13”, katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis di parlimen hari ini.