Jelajah Ramadan 2026: Pendekatan inklusif RTM dekati masyarakat

RTM perkukuh peranan dekati hati rakyat/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Program Jelajah Ramadan 2026 terbitan RTM bagi Zon Semenanjung melabuhkan tirainya, hari ini selepas hampir dua minggu menelusuri negeri-negeri di Semenanjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jelajah Ramadan 2026 memperkukuh hubungan RTM dengan komuniti melalui kehadiran fizikal dan penyampaian maklumat serta hiburan.
  • Program mendekati masyarakat pelbagai latar belakang, memberi tumpuan kepada golongan memerlukan.
  • Keterlibatan aktif rakan penaja dan komuniti setempat dipandang sebagai pencapaian utama jelajah.
  • RTM menggunakan pendekatan inklusif untuk memperkuat peranan sebagai penyiar awam yang dekat di hati rakyat.

Pengarah Program Radio, Saifuzzaman Yusop memaklumkan konvoi jelajah bermula di Johor Bahru pada 16 Februari telah berjaya menyantuni masyarakat pelbagai latar belakang khususnya golongan memerlukan.

“Pengalaman turun padang seperti ini membolehkan pasukan jelajah merasai sendiri denyut nadi masyarakat serta memahami keperluan komuniti setempat.

“Tradisi penganjuran ini juga antara pendekatan inklusif RTM menyantuni komuniti serta memperkukuh hubungan antara penyiar dan pendengar di seluruh negara.

“Selepas ini, siri jelajah diteruskan ke Sabah bermula esok dan ke Sarawak selepas itu dengan majlis penutup pada 8 Mac ini di Sibu,” katanya.

Beliau juga mengakui antara pencapaian paling ketara adalah keterlibatan aktif rakan penaja dan komuniti setempat, selain peluang RTM mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.

“Program seumpama ini membolehkan RTM bukan sahaja menyampaikan maklumat dan hiburan, malah hadir secara fizikal bersama masyarakat, sekali gus memperkukuh peranan sebagai penyiar awam yang dekat di hati rakyat,” jelasnya.