fb fb fb fb fb

RM5.9 bilion diperuntuk bagi 38 projek infrastruktur air Pahang

Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri / Foto BERNAMA

KUANTAN, 5 Julai- Sebanyak 38 projek pembangunan infrastruktur air di Pahang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu memperuntukkan sebanyak RM5.9 bilion.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan perkhidmatan bekalan air bersih dan mampan dapat disalurkan kepada rakyat.

"Sebanyak 38 projek pembangunan diluluskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM5.9 bilion di bawah RMK12 di Pahang. Manakala bagi tahun ini, peruntukan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) adalah sebanyak RM504.2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) di sini.

Tambah beliau, pelaksanaan projek berkenaan melalui agensi di bawah PETRA seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dapat mengatasi isu berkaitan air serta memberi impak positif kepada penduduk Pahang.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Dalam pada itu, Kerajaan Pahang komited menyelesaikan isu air di negeri itu dengan 90 peratus isu berkaitan bekalan air bersih selesai pada hujung tahun ini.

Majlis HAS berlangsung selama dua hari sejak semalam, dengan merekodkan lebih 2,000 pengunjung.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM