
KUALA TERENGGANU, 18 April -Stesen radio Terengganufm merancang untuk menggiatkan lagi program turun padang menerusi siri jelajah di seluruh negeri bagi mendekati pendengar dan peminat setia stesen berkenaan.
- Inisiatif sebagai simbol penghargaan kepada pendengar setia dan usaha menarik pendengar baharu daripada semua peringkat umur.
- Program 'Meh Raya' menyantuni empat pendengar terpilih di Kuala Terengganu untuk meraikan kesetiaan mereka.
- Pemilihan dibuat berdasarkan tahap kesetiaan, ada yang mendengar sehingga 18 jam sehari sejak kecil.
- Pendengar terharu dapat bertemu personaliti stesen dan menerima hamper raya sebagai tanda penghargaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Razifi Roslan berkata, inisiatif itu merupakan simbol penghargaan kepada pendengar yang terus memberikan sokongan padu sejak stesen itu ditubuhkan, selain menarik pendengar baharu daripada pelbagai lapisan umur.
“Kita ada perancangan untuk melaksanakan jelajah (roadshow) ke seluruh Terengganu. Kita mahu pastikan stesen ini sentiasa dekat dengan pendengar kerana sokongan mereka menyeluruh, bukan sahaja di sekitar Kuala Terengganu,” katanya yang ditemui selepas program ‘Meh Raya’.
Program berkenaan menyantuni empat pendengar terpilih di sekitar Kuala Terengganu bagi meraikan kesetiaan mereka terhadap kandungan yang disiarkan oleh stesen di bawah kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.
Penerbit program tersebut , Rizalimi Mohamed berkata, pemilihan pendengar bagi program itu dibuat berdasarkan tahap kesetiaan mereka mengikuti siaran sehingga 18 jam sehari.
“Pendengar yang kita kunjungi ini amat setia. Ada yang mendengar sejak kecil dan bagi mereka, hidup terasa tidak lengkap jika tidak mendengar Terengganufm setiap hari,” jelas beliau.
Sementara itu, tinjauan terhadap beberapa pendengar yang terpilih menerima kunjungan tersebut mendapati mereka rata-ratanya menzahirkan rasa terharu dan syukur kerana berpeluang bertemu secara bersemuka dengan personaliti serta krew stesen kegemaran mereka.
Seorang pendengar, Musa Maidin, berkata stesen itu sudah dianggap menjadi sebahagian daripada identiti dirinya selepas lebih lima dekad menjadi pengikut setia.
“Saya mendengar Radio Terengganu sejak berusia 20 tahun, bererti sudah hampir 50 tahun lebih.
“Loghat Terengganu yang digunakan menjadikannya sinonim dengan saya, malah maklumat mengenai negeri lebih cepat diperolehi menerusi stesen ini,” katanya.
Nada sama dikongsi oleh Nor Silawati Nuh yang menyatakan keterujaan apabila dapat bertentang mata dengan DJ yang diminatinya.
Manakala, seorang lagi pendengar, Mohd Azhar Endot mengakui telah mengikuti Terengganufm sejak bangku sekolah rendah lagi.
Pada program tersebut, kesemua pendengar terpilih turut menerima sumbangan hamper raya daripada rakan strategik sebagai tanda penghargaan.