
KUCHING, 18 April -Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini memberi keutamaan kepada kes warga emas yang uzur dan benar-benar terbiar berikutan kapasiti institusi penjagaan di bawah kendalian kerajaan yang dilaporkan hampir penuh.
- JKM menjalankan prosedur ketat termasuk usaha mengesan waris sebelum penempatan bagi memastikan tanggungjawab keluarga tidak diabaikan.
- Sesetengah kes memerlukan tindakan mahkamah terlebih dahulu untuk mendapatkan kebenaran penempatan, bergantung kepada keadaan.
- Kementerian menyediakan sokongan lain termasuk bantuan kewangan bagi meringankan beban warga emas di komuniti.
- Kerajaan mengalu-alukan penglibatan swasta dan individu tetapi semua inisiatif mesti mematuhi garis panduan dan akta sedia ada.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kekangan ruang berkenaan menyebabkan tidak semua permohonan penempatan dapat dilaksanakan secara serta-merta.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebelum sebarang tindakan penempatan dibuat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu melalui prosedur ketat, termasuk usaha mengesan waris bagi memastikan tanggungjawab kekeluargaan tidak diabaikan.
“Sebenarnya sebelum kami melindungi warga emas itu, kami terpaksa mencari warisnya. Takut ada waris yang mahu mengambil ibu bapa mereka.
“Ataupun ada juga perkara yang perlu kita bawa ke mahkamah dahulu untuk mendapat kebenaran. Itu terpulang mengikut keadaannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sahabat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), Yayasan Kebajikan Negara di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kes tular melibatkan seorang warga emas yang dibantu oleh seorang pempengaruh baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa JKM telah terlibat sejak awal lagi bagi memantau dan memastikan kebajikan individu terbabit terpelihara.
Menurut Nancy, selain penempatan di institusi, kementerian turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan lain termasuk bantuan kewangan bagi meringankan beban warga emas yang memerlukan di komuniti.
Dalam pada itu, kerajaan menyambut baik dan mengalu-alukan penglibatan pihak swasta serta individu dalam menangani isu warga emas terbiar, namun mengingatkan agar semua inisiatif tersebut mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan golongan tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik selaras dengan akta sedia ada.