Pelajar perlu pegang teguh nilai murni -Tuanku Mukhriz

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir/RTM

SEREMBAN, 18 April – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menasihatkan para pelajar agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai murni dalam kehidupan sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik yang diraih.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembentukan sahsiah dan jati diri yang kuat menjadi asas kejayaan sebenar serta melahirkan generasi berakhlak mulia menyumbang kepada keharmonian masyarakat.
  • Pelajar disarankan pegang nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan orang tua, saling membantu, menyayangi alam serta memupuk semangat kebersamaan.
  • Kehadiran pihak diraja menyempurnakan majlis graduasi memberi penghargaan tertinggi serta kenangan berharga sebelum para graduan melangkah ke peringkat pendidikan tinggi.
  • Pencapaian cemerlang SASER mengangkat sekolah antara yang terbaik, memberi inspirasi kepada graduan meneruskan pengajian dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Baginda bertitah, pembentukan sahsiah dan jati diri yang kuat merupakan asas kepada kejayaan sebenar bagi melahirkan generasi berakhlak mulia yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat.

“Kepada semua pelajar, Beta menasihatkan kamu agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua, memupuk sikap tolong-menolong, menyayangi alam sekitar serta menyemai semangat kebersamaan dalam diri,” titah baginda.

Baginda bertitah bersempena Majlis Graduasi Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) Kali Ke-21 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 116 pelajar diraikan dengan 48 daripadanya memperoleh keputusan semua A (Straight A), manakala lima pelajar mencatatkan keputusan semua A+.

Pencapaian cemerlang itu sekali gus mengangkat SASER sebagai antara Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik di negara ini.

Sementara itu, Pengetua SASER, Adam @ Karim Abd Malek berkata, kehadiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menyempurnakan majlis tersebut merupakan satu penghargaan tertinggi yang memberikan nilai nostalgia buat para graduan sebelum melangkah ke alam pendidikan tinggi.

“Alhamdulillah, keputusan kita pada tahun ini masih lagi cemerlang dan memiliki kedudukan antara yang terbaik di Malaysia.

“Pemberian sijil yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ini memberikan seribu kenangan kepada anak-anak sebelum mereka melangkah ke dunia yang lebih mencabar lagi,” katanya.

Dalam pada itu, bagi penerima Anugerah Emas Tuanku Munawir, Amir Akram Hakim, kejayaan tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus berbakti kepada negara melalui bidang profesional yang bakal diceburinya kelak.

“Insya-Allah, jika diberikan rezeki saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara satu hari nanti,” katanya.

Nada sama dikongsi penerima Anugerah Khas Pengetua, Nik Muhammad Fahim Ali Zaini, yang menzahirkan rasa terharu dan bertekad untuk memanfaatkan segala ilmu yang ditimba sepanjang tempoh persekolahan di SASER.

Majlis graduasi itu berlangsung penuh istiadat dengan kehadiran barisan kepimpinan negeri, guru-guru serta ibu bapa.