(Datuk Ruslan Khalid, Ketua Polis Negeri Sembilan bersama hasil rampasan bernilai RM4 juta)
LENGGENG, 2 September- Kegiatan memproses arak secara haram di sebuah kilang terbiar di Kampung Orang Asli Broga, Lenggeng tumpas dalam serbuan Op Kontraban.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid, pihaknya merampas pelbagai peralatan dan mesin memproses arak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4 juta termasuk 22,848 tin arak haram yang dianggarkan bernilai RM182,784.
Ia merupakan serbuan kilang memproses arak secara haram yang pertama dan terbesar di Negeri Sembilan dengan sindiket memproses arak dalam masa sama membuat pembungkusan dalam kotak sebelum dipasarkan di dalam dan luar negara.
Taktik sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu adalah dengan menyewa sebuah kilang terbiar dengan menggunakan pintu utama di bahagian belakang seolah-oleh premis tidak didiami.
Tambah Datuk Roslan Khalid, "untuk tujuan penyiasatan kertas siasatan dibuka bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menjalankan dan memproses arak secara haram.
(Peralatan yang digunakan untuk memproses arak)
"Jika disabit kesalahan boleh bawa hukuman tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan yang dirampas atau yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun antara enam bulan hingga lima tahun. Atau kedua-duanya sekali." Jelasnya kepada pemberita.
Tiga orang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang merupakan pekerja di premis tersebut dan dua lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan.
Kesemua tangkapan direman sehingga 5 September ini untuk siasatan lanjut.
Beliau ditemui dalam satu sidang media di Lenggeng, Negeri Sembilan.