KOTA BHARU, 2 Disember – Sebanyak RM22.5 juta diperlukan untuk membaiki jalan-jalan di Kelantan yang rosak akibat bencana banjir.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebanyak 16 lokasi rosak dikenal pasti, melibatkan jalan persekutuan dan jalan negeri.
"Bagi Jalan Persekutuan, terdapat 12 lokasi terjejas yang mengakibatkan lapan insiden tanah runtuh, dua bahu jalan runtuh, dan dua mendapan tanah, dengan kos anggaran pembaikan sebanyak RM16 juta," katanya pada sidang media di Pejabat JKR Jajahan Kota Bharu, di sini.
Sementara itu, RM6.5 juta diperlukan untuk membaiki empat lokasi Jalan Negeri yang terjejas, melibatkan dua kejadian jalan runtuh, satu jalan rosak, dan satu kejadian jalan mendap.
Tambah Ahmad, peruntukan pembaikan akan diusahakan melalui bajet tambahan oleh Kementerian Kewangan atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Laporan berkenaan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan dan NADMA dalam masa terdekat, dan kita akan memohon peruntukan segera," tambahnya.
Kerja pembaikan keseluruhan jalan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Namun, ia mungkin ditangguhkan beberapa minggu kerana bimbang gelombang banjir seterusnya.