
HULU PERAK, 12 April – Kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi kajian awal kebolehlaksanaan pembinaan bangunan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di pintu sempadan Pengkalan Hulu, di sini.
- Kajian bertujuan menilai keperluan kemudahan lebih moden serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
- Kajian merangkumi lokasi, reka bentuk dan aliran pergerakan pengembara bagi memastikan kawalan sempadan lebih efisien.
- Struktur semasa ICQS menimbulkan cabaran operasi kerana kedudukan pos sempadan Malaysia dan Thailand agak berjauhan.
- Pengambilalihan Pengkalan Hulu oleh AKPS belum selesai; 22 daripada 122 pintu masuk utama kini di bawah kawalan penuh AKPS.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian itu bertujuan menilai keperluan kemudahan lebih moden, selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.
Kajian berkenaan turut merangkumi aspek lokasi, reka bentuk serta aliran pergerakan pengembara bagi memastikan sistem kawalan sempadan lebih efisien. Struktur semasa ICQS Bukit Berapit menimbulkan cabaran operasi berikutan kedudukan antara pos sempadan Malaysia dan Thailand yang agak berjauhan.
“Buat masa ini, kita berada di peringkat menjalankan kajian dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tujuan kajian awal.
“Ia dilaksanakan bagi memastikan keselesaan pengguna yang keluar masuk serta pada masa sama tidak menjejaskan aspek keselamatan, khususnya berkaitan isu sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pintu sempadan Pengkalan Hulu, di sini.
Pada masa sama, pintu sempadan Pengkalan Hulu masih belum diambil alih sepenuhnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Namun, lokasi berkenaan akan dimasukkan dalam pelan pengambilalihan secara berperingkat, bergantung kepada kesiapsiagaan anggota serta kemudahan sedia ada.
Setakat ini, 22 daripada 122 pintu masuk utama negara telah berada bawah kawalan penuh AKPS.